“Bangun wok, omak nak poi caghi pucuk compoghai ni. Nak ikut copek poi mandi”, begitu merdu suara emak mengejutkan aku di satu pagi. Aku bingkas bangun dan menjawab, “tak mandi buleh tak mak?” Emak aku bersuara, “ikut kau lah tapi poi basuh muko dulu. Kuih kodok ado bawah tudung saji tu. Copek sikit, Long Enab kau dah lamo nunggu tu”. Aku memang suka mengikut emak dan kawan-kawannya pergi cari pucuk cemperai kat tepi-tepi hutan sebelah kebun-kebun getah di kampong aku. Kadang-kadang bukan pucuk cemperai saja yang dikutip malahan kalau ada rezeki dapatlah kutip cendawan kukur yang tumbuh dipokok-pokok getah mati dan bermacam-macam pucuk atau ulam lain yang tumbuh meliar ditepi hutan tersebut. Pucuk cemperai ini sedap dimasak lemak cili api dengan ikan bilis...pedas, lemak, manis dan masin. Memang sedap di makan dengan nasi panas dan ada pula goreng ikan puyu dan sambal belacan...perrrgh!
Perkara biasa yang akan ditemui ditepi hutan tersebut ialah kerbau-kerbau orang kampong yang dilepaskan bebas mencari makan sendiri ditepi-tepi hutan dan dalam kebun-kebun getah tersebut. Kalau sekarang Jabatan Haiwan sibuk dengan ternakan lembu secara “fidlot” yang mana lembu-lembu dibebaskan dalam kawasan kebun kelapa sawit, orang kampong aku sudah lama mengamalkan cara itu. Kerbau-kerbau milik beberapa tuan punya itu akan diletakkan secara berkumpulan ditepi-tepi hutan berhampiran kebun getah untuk meragut rumput sendirian. Adalah menjadi mukabumi semula jadi di kampong aku ketika itu iaitu kebun-kebun getah terletak bersebelahan dengan petak-petak sawah dan hutan yang diteroka oleh orang kampong dan dijadikan dusun durian. Rumput-rumput dan pokok-pokok renek yang tumbuh di sawah, kebun getah dan dusun durian akan diragut oleh kerbau-kerbau tersebut yang bebas menjelajah seluruh kawasan tersebut. Tuan-tuan punya kerbau itu akan datang menjengok kerbau masing-masing dari masa ke semasa dan terutamanya bila tiba bulan Ramadhan dan Hari Raya untuk disembelih.
Aku paling seronok bila ada upacara menindik hidung kerbau. Orang-orang kampong akan masuk ke tepi-tepi hutan untuk menangkap kerbau dan hidung-hidung kerbau tersebut akan ditindik satu persatu. Macamana menindik kerbau? Sebenarnya hidung kerbau tersebut akan ditindik dengan gelang besi. Gelang besi tersebut akan digunakan untuk diikat tali supaya senang nanti untuk menarik kerbau tersebut. Selalunya kerbau-kerbau itu tidak mendatangkan banyak masalah dan kerbau-kerbau tersebut seakan kenal tuan masing-masing. Apa ilmu yang tuan kerbau pakai tidak pula aku ketahui, tapi rasanya mesti ada ilmu yang mereka amalkan. Kerbau-kerbau itu tiba-tiba boleh menjadi jinak dan mengikut kata. Hairan? Tidak menghairankan, sebab setahu aku, orang-orang kampong aku banyak ilmu-ilmu dunia selain kuat beribadat. Jadi ilmu, kepandaian dan pengalaman mereka adalah selari dan sentiasa digunakan dalam kehidupan seharian. Mungkin semangat “survivor” yang kuat menjadikan mereka serba boleh.
Selain dari kerbau, aku amat teruja apabila melihat sungai-sungai kecil yang mengalir dari bukit merentasi petak-petak sawah. Sungai-sungai kecil ini yang kita panggil “tonghair”. Ketika itu hanya satu perkara yang terlintas dalam fikiran aku. Apa? Tepat sekali! Untuk terjun berendam dalam sungai tersebut. Sungai-sungai itu tidak dalam. Cuma separas betis sahaja. Lebar pula lebih kurang 6 ke 7 kaki. Tapi air sungai yang berasal dari bukit yang sejuk dan jernih seakan-akan memanggil aku untuk merendamkan badan aku di dalamnya. Jadi sekarang engkau orang faham kenapa aku tidak mandi pagi tadi. Selalunya kakak aku yang turut serta dalam “ekspedisi compoghai” akan menjadi kawan baik aku berendam, walaupun pada hakikatnya di rumah, kami bagi anjing dan kucing...he,he. Sorry ye Sis. Itu dulu, sekarang lain! Ada masanya kawan-kawan sebaya aku turut serta bila dia orang tahu aku ada dekat sungai. Memang menyegarkan berendam dalam sungai tersebut. Aku akan berguling-guling dalam sungai tersebut. Hendak berenang tidak cukup dalam, jadi berendam atau berguling-guling sahajalah. Sungai itu pula tidak berlumpur di dasarnya sebaliknya berpasir halus dan bersih. Ianya akan menjadi keruh sekiranya kita mengorek pasir tersebut dalam-dalam. Kalau engkau orang belajar geografi, mungkin engkau orang tahulah berkaitan lapisan muka bumi. Takkan semua aku hendak kena ajar. Mintalah Cikgu engkau orang ajar. Tak gitu? Kembali semula, jadi penuhlah pasir didalam seluar aku dan dicelah-celah segala bahagian yang berlipat di tubuh aku. Fahamkan bahagian mana yang berlipat. Kalau tidak faham engkau orang tengoklah bahagian badan kau orang sendiri...he,he!
Yang hairanya emak aku macam tidak kisah sahaja kami berendam. Mungkin pada fikiran beliau, sungai yang cetek tersebut tidak akan mendatangkan bahaya. Kadang-kadang emak akan sertai kami, tetapi bukan untuk berendam, tetapi menanguk ikan puyu atau mengutip siput. Aku panggil siput sedut sahaja. Nama saintifiknya aku kurang arif pula. Engkau orang carilah dalam internet sendiri ya! Bila matahari tinggi sedikit emak dan kawan-kawannya akan mengajak kami pulang. Adakalanya kami akan pulang mengikut jalan kami datang dan adakalanya kami akan menyusur sepanjang sungai sehingga tiba di rumah kami. Sungai tersebut memang menghala ke arah rumah kami. Sebaik tiba di rumah, kami akan menuju terus ke arah perigi. Di situ kami akan mandi dan membersihkan badan. Ketika itu, semua pasir-pasir yang melekat di tempat-tempat berlipat di badan aku akan gugur ke lantai ditepi perigi tersebut. Guna pula sabun cap kapak. Masa itu seperti yang aku kata dahulu, mana ada sabun “lux”..kan,kan!
Selalunya jika ikan puyu yang emak tangguk ada seekor sahaja, emak akan melepaskan ke dalam perigi atau di simpan di dalam balang kaca di rumah. Emak kata ikan puyu bagus dibela di rumah sebagai pendinding bagi perbuatan sihir dan pukau oleh orang-orang yang dengki kepada kita atau pencuri. Allahualam! Mungkin itu kepercayaan orang-orang dahulu, jadi aku akur sahajalah. Sehingga sekarang aku tidak sempat untuk menkaji kebenarannya, cuma banyak mendengar akan keberkesanannya dari cakap-cakap orang. Banyak perkara mistik yang aku saksikan dengan mata-kepala aku sendiri di kampong Bongek ini, tetapi nantilah. Ada masa nanti aku akan ceritakan. InsyaALLAH!
Ha, balik kepada susana di perigi tadi. Emak akan membersihkan daun-daun cemperai tadi atau menyiang ikan puyu serta siput sedut tersebut (jika adalah) sebelum di bawa balik ke rumah. Ketika itu, aku tidak sabar untuk menunggu gulai lemak cemperai emak. Sudah pasti aku akan makan nasi dengan banyak. Pucuk cemperai, pucuk cemperai...mana hendak cari ya! Balik kampong la! Seronoknya..tetapi di sebelah hutan mana hendak cari ye. Siapa hendak teman aku masuk kebun atau tepi hutan cari pucuk cemperai. Yang sedihnya, aku pun sudah lupa macamana rupanya pokok cemperai. Emak aku sudah tidak larat lagi hendak masuk kebun. Apo lah kono eih kau ni Jang!
No comments:
Post a Comment