“Banyak bungo kayu ah! Tak lamo lai banyak lah buah-buah pokok ni. Ngaso lah kito makan dian!”, luah emak kepada aku. Ketika itu aku sibuk bermain di bawah pokok durian pusaka yang di tanam oleh arwah Datuk aku di sebelah perigi di baruh rumah emak . Bunga-bunga durian itu banyak yang berguguran di atas tanah menghasilkan hamparan bunga durian yang berbau wangi dan segar. Memang betul bagi sesiapa yang ada pokok durian mungkin akan bersetuju dengan aku. Bau bunga durian tidaklah sewangi bunga ros tetapi ianya sangat segar dan menimbulkan semangat kegembiraan kepada aku. Apa yang terbayang kepada aku ketika itu ialah tiga minggu yang penuh dengan aktiviti didusun durian yang begitu menyeronokkan dan begitu dekat dengan kehidupan semula jadi. Orang kampong Bongek sebut durian sebagai “dian”.
Arwah Nenek aku banyak tanah….terdiri dari tanah kampong, sawah getah dan dusun durian. Salah satu dari tanah tersebut di tanam dengan durian yang kami panggil dusun durian tersebut terletak di kawasan bukit yang bersebelahan dengan hutan besar Banjaran Titiwangsa. Arwah Nenek aku ada tiga orang anak sahaja iaitu arwah makcik aku (Ayek), emak aku dan pakcik aku (Achik Chok). Ayek aku ada 1 anak tapi ada 9 cucu. Emak aku ada sembilan anak. Achik Chok aku ada 4 anak. Jadi kita orang sepupu-sepapat ini tidak lah sebesar mana, tetapi cukup lah untuk menebas kawasan dusun durian yang seluas lebih kurang 3 ekar itu ketika itu.
Lokasi dusun durian arwah Nenek terletak lebih kurang 3 kilometer dari rumah kami. Geograpikalnya adalah kawasan berbukit bersebelahan dengan hutan besar ekor Banjaran Ttiwangsa. Muka buminya adalah ditepi lereng bukit, berbatu besar dan sedikit berlurah. Di dusun inilah arwah Datuk dan arwah Nenek aku menanam beberapa batang pokok durian di samping pokok manggis, langsat dan kundang. Seingat aku ada lebih kurang 20 pokok durian pusaka yang kami gelarkan durian tebal, durian kuning, durian gansa, durian kundang, durian hijau, durian sireh, durian jantung, durian kocik dan durian dragon. Gelaran ini bukannya gelaran saintifik oleh MARDI tetapi lebih kepada kedudukan batang durian tersebut berhampiran dengan pokok kundang, dililit sireh dan berdasarkan rupa bentuk pokok atau isi durian tersebut. “Favourite” aku adalah durian sireh dan golden dragon sebab isinya tebal dan berwarna kuning seperti gangsa. Pokok-pokok di dusun ini dibiarkan hidup secara semula jadi dan semak-semak yang tumbuh diseluruh kawasan dusun ini akan di bersihkan (ditebas) hanya setahun sekali apabila tiba musim durian. Dulu pokok buah ditanam tidak ikut secara komersil tersusun, tetapi lebih kepada cara semula jadi berdasarkan kedudukkan kawasan muka bumi dusun tersebut. Jadi memandangkan kawasan dusun kami banyak berbatu (boulders), jadi tidak banyak pokok durian yang boleh ditanam, tetapi cukup untuk kami makan sesama sendiri, bersedekah, dijual dan untuk dibuat tempoyak atau “lempok” durian (iaitu isi durian yang dimasak dengan sedikit gula sehingga menjadi kecoklatan seperti dodol dan dimakan sepert dodol atau di cicah kelapa parut).
Selalunya apabila tiba musim durian, kami akan menjalankan upacara meninjau dusun untuk memastikan sama ada terdapat putik durian pada pokok-pokok dusun tersebut. Upacara meninjau ini akan dijalankan secara beramai-ramai oleh arwah bapa, abang-abang aku, arwah pakcik aku, sepupu-sepupu aku dan aku mesti tidak mahu ketinggalan. Kadangkala disetai oleh jiran-jiran yang mempunyai dusun bersebelahan dengan dusun kami. Aku sangat teruja dan seronok kalau dapat pergi ke dusun durian kami walau terpaksa berjalan kaki, merempuh semak belukar, melintas sungai kecil dan mendaki bukit untuk sampai. Aku sangat sukakan hutan, pokok-pokok liar, udara yang segar dan nyaman dapat melihat fauna dan flora disepanjang jalan ke dusun serta yang terdapat di dusun. Warna-warni hutan, flora dan fauna serta kenyamanan udara didusun amat mendamaikan dan amat aku rindui sehingga kini. Selalunya, durian berputik diikuti pokok kundang, pokok langsat dan pokok manggis. Pemandangan yang indah di atas bukit membolehkan kami melihat Kampung Bongek yang samara-samar serta dusun-dusn lain yang berada di bawah kami. Pemandangan dan udara di dusun memang mendamaikan perasaan.
Setelah upacara meninjau dan telah pasti durian telah berputik, tanpa berlengah lagi, kami akan memulakan upacara menebas dusun pula. Ketika ini, arwah bapa, arwah pakcik aku, sepupu-sepupu aku serta aku sendiri yang menjadi pak sibuk akan memulakan upacara menebas dusun. Selalunya tidak lama, dalam empat atau lima hari teranglah dusun itu dari semak samun dan pokok-pokok merayap. Kadang-kala abang-abang serta cucu Ayek aku yang kesemuanya tinggal di Kuala Lumpur akan balik pada hujung minggu untuk sama-sama menebas. Upacar menebas ini seronok juga, sebab jiran-jiran yang memiliki dusun-dusun bersebelahan akan turut serta membersihkan dusun mereka. Jadi terasa semacam pesta menebas di dalam hutan tersebut. Bercerita pasal menebas, kami selalunya mengunakan peralatan ringkas seperti parang bengkok, parang panjang, sabit dan kapak serta tidak lupa batu pengasah. Masa itu mana ada mesin menebas, Jang oi!.
Aku paling suka tebang pisang hutan (pisang karuk) sebab batangnya lembut dan aku mula lah berangan jadi pendekar seperti Harimau Berantai atau Panca Delima (Siapa itu? Hendak tahu siapa? Tengok filem Melayu lama. Nanti engkau orang tahu lah siapa hero-hero aku ini). Dalam mengerjakan batang pisang karuk ini, aku akan tetak sana , tetak sini dikeseluruhan batang pisang karuk tersebut. Tidak habis dengan tetakan, aku akan terajang batang pokok pisang tersebut sesuka hati. Maklumlah batang pisang, lembut, dah tu tidak melawan pula. Sayang pisang? Pisang karuk ini pisang hutan. Buahnya boleh dimakan tapi orang tidak suka sebab terlalu banyak biji. Yang “confirm” tidak tolak adalah kera atau monyet (beruk) sahaja. Yang selalu digunakan oleh orang hanya daunnya sahaja buat bungkus durian muda atau isi durian yang akan dibuat tempoyak. Tetapi aku selalu gunakan daun pisang karuk tersebut untuk dijadikan pinggan nasi. Sekarang ini di Lembah Klang sudah banyak restoran “banan leaf” dengan lauk-pauk yang kalau tidak berhati-hati boleh mendatangkan penyakit orang-orang kaya. Bagaimanapun lauk pauk dan perasaanya amat berbeza. Makan di dusun dengan makan di restoran, mana hendak sama ya tak?
Kalau menebas pokok-pokok kecil atau semak-samun aku selalunya akan curi tulang..ha,ha…maklumlah budak kecil. Mana kuat kan ? Tidak percaya Tanya emak aku. “Betul tak Mak?” Semasa orang lain sibuk menebas, aku paling suka cari dan kumpulkan ulat gonggok…warna hitam berbelang kuning. Panjang lebih kurang 1 inci dan lebar lebih kurang ½ inci. Apabila disentuh, ianya akan bergulung menjadi seperti bola kecil/guli. Aku suka letak atas tangan. Apabila ulat gongok tersebut tidak merasa terancam, ia akan terbuka dan mula berjalan di atas tapak tangan. Kadang-kadang aku bawa balik untuk terus bermain dengannya di rumah. Tetapi kerap kali aku kehilangan ulat gongok tersebut, sebab aku terlupa bahawa ianya hidup dan boleh berjalan. Sudah tentulah ulat gongok tersebut ingat menyelamatkan diri dari jadi mangsa persendaan atau jadi ulat sirkus aku…kan ?
Kalau jumpa kala jengking (scorpion) aku akan potong bisa di hujung ekor. Kemudian ikat dengan tali dan ikut kala jengking itu berjalan mcam orang bawa anjing berjalan lah….cheh! Kira “terror” lah tu. Tiap-tiap kali menebas mesti tidak dapat elak dari bunuh ular. Bab-bab ular ini aku geli sikit sahaja tetapi takut banyak. Jadi aku akan duduk jauh-jauh dari ular yang telah dibunuh tersebut. Abang-abang dan sepupu-sepupu aku pun satu. Dia orang ini kalau nampak ular, mula lah meluap-luap “deria pembunuh” mereka. Padahal ular tersebut sudah hampir setahun duduk dalam semak itu. Sudah lah sarang dia kena kacau, terperanjat lagi, lepas itu jadi mangsa kebuasan nafsu pembunuh abang-abang dan sepupu-sepupu aku. Kejam kan . Lepas itu dia lempar pula ular yang sudah mati itu kepada aku. Apa lagi, aku akan melompat kegelian (eleh…ketakutan yang sebenarnya). Nasib baik ada arwah bapa atau emak, boleh menyorok belakang mereka. Sysssss! Sebenarnya sampai sekarang aku takutkan ular. Bertembung dengan ular lidi pun aku boleh lari berketuntang (alah…lintang pukang lah. Itu pun tak tahu). Tolong jangan beritahu orang rahsia aku ini …ok!
Dalam upacara menebas tadi, pokok-pokok yang bermanfaat akan di tinggalka untuk dikutip pucuknya kemudian untuk dibuat ulam atau dimasak. Contohnya seperti pucuk lepu, pucuk cemperai dan sepesis lain yang boleh dimakan. Yang menghairankan, banyak juga pokok-pokok cili padi yang tumbuh meliar di kawasan dusun tersebut. Apabila sudah bersekolah, baru aku tahu. Mungkin biji benihnya diterbangkan angin atau burung. Setidak-tidaknya terpalit pada bulu monyet atau kera…”Jangan sang monyet…he,he”. Malangnya semua usaha mereka adalah sia-sia sahaja sebab kena kepada aku, habis semua pokok-pokok yang tidak ditebas aku libas…manalah aku tahu pokok2 itu berguna…maklumlah budak kecil..ikut suka hati aku sahaja lah. Aku nampak pokok-pokok itu macam aku boleh “handle” sahaja dengan parang panjang aku…he,he! Selalu juga emak atau abang-abang aku menjerit, tetapi dah terlambat dah.
Selepas selesai menebas, kami akan mendirikan pondok menunggu durian. Pondok atau lebih kami kenali sebagai pundung ini akan di buat sedikit kukuh untuk kegunaan siang dan malam sepanjang musim durian tersebut. Ianya akan didirikan di kawasan yang lebih tinggi supaya senang kami melihat disekeliling dusun. Tiang pundung akan mengunakan batang-batang pokok hutan sebesar betis dan lantai serta dinding mengunakan buluh yang telah diketuk menjadi leper. Akar atau kulit kayu akan digunakan untuk mengikat tiang-tiang, dinding dan lantai untuk menjadi lebih kukuh. Dibahagian atap zink lama akan digunakan dan ditutup daun pisang hutan. Kira kukuh dan selesa lah untuk tidur, duduk atau makan di dalamnya. Ia seharusnya begitu kerana ianya akan dihuni siang dan malam sepanjang musim durian ini.
Durian harus ditunggu pagi, petang, siang dan malam. Kalau tidak, durian itu akan hilang sebab ada mahkluk-mahkluk bernama “pencuri” akan mengutip durian-durian tersebut. Maklum lah ketika itu, durian amat berharga. Jadi mereka yang tidak bertanggung jawab ini akan mengambil kesempatan dari penat jerih orang lain. Aku suka juga ikut arwah bapa atau abang-abang aku menunggu durian di waktu malam. Selalunya selepas solat Isya’, kami akan bersiap sedia untuk pergi ke dusun untuk menunggu durian sampai ke pagi. Selalunya emak akan bekalkan aku dengan air kopi atau teh panas yang disi dalam “thermos” serta sedikit biskut bulat. Sebenarnya tiada istilah kelaparan semasa menunggu durian. Kenapa? Lah, bukan kah banyak durian yang boleh dimakan untuk menghilangkan lapar dan untuk memanaskan badan. Apalah kau orang ini. Aku tidak tahu secara saintifik kenapa durian boleh memanaskan badan dan ianya ternyata benar. Mungkin anak-anak aku atau anak-anak saudara aku yang pandai-pandai dan berfikiran saintifik itu boleh memberikan penjelasan yang lebih terperinci.
Aku suka dengar bunyi durian gugur dan aku suka udara nyaman yang sejuk di waktu malam dan pagi di dusun. Maklumlah dalam hutan. Memang betul-betul sejuk,. Setakat Cameron Highland itu, boleh lawanlah sejuknya. Aku akan ikut arwah ayah atau abang-abang aku untuk mencari durian dari satu pokok ke satu pokok dari masa ke semasa sepanjang malam itu. Mungkin rezeki dari ALLAH, kadang-kadang lebih dari 50 biji durian yang terkumpul sepanjang malam. Itu sudah ditolak apa yang aku sudah kendurikan. Apabila pagi, emak dan kakak aku akan datang, bawa bekalan. Kalau aku tidak ke sekolah aku akan duduk di dusun sehingga senja dan datang balik pada waktu malam. Memang sepanjang musim durian ini, aku sangat suka berada didusun, sampai sanggup ponteng sekolah. Ialah orang kamponglah katakan. Mana lagi hendak pergi. Mana ada “One Utama” atau “The Curve” masa itu. Kalau ada pekan yang dekat dan besar sedikit, kena pergi Tampin lah. Kalau setakat pekan Rembau, tidak sampai 5 minit, sudah habis keliling satu pekan. He,he..jangan marah ya orang Rembau!
Waktu malam di dusun memang sejuk dan sedikit menyeramkan. Jadi untuk mengelakkan dari kesejukan, unggun api akan di hidupkan. Sambil-sambil itu boleh masak air untuk dibuat kopi untuk dicicah biskut kering atau biskut bulat. Biskut bulat itu adalah roti kering. Sangat popular di Kampung Bongek ketika dahulu kala. Bunyi-bunyian di waktu malam di dusun juga amat pelik dan kadang-kadang menakutkan, tetapi arwah bapa ada seorang yang amat berani dan berfikiran positif. Arwah bapa ada memiliki senapang dan senapang itu sentiasa berada dekat dengan beliau. Beliau sentiasa menenangkan aku dan meniupkan semangat kepada aku untuk menjadi seorang yang berani. Walau pun begitu, aku rasa sehingga kini aku tidak mewarisi keberanian beliau. Beliau boleh berada di dusun seorang diri diwaktu malam, tetapi aku mesti ada sekurang-kurangnya empat atau lima orang kawan atau anak-anak saudara aku untuk dijadikan teman.
Kedudukan dusun tersebut yang bersebelahan dengan hutan besar (ekor Banjaran Titiwangsa) menyaksikan kehadiran beberapa binatang buas seperti harimau, beruk, beruang dan sebagainya. Nasib aku memang baik kerana sepanjang pengalaman aku berada di dusun diwaktu malam, aku hanya terbau hamis binatang buas dan kadangkala tersuluh mata binatang buas tersebut di samping sekali-sekala terdengar bunyi binatang-binatang tersebut. Tidak pernah dalam sejarah hidup aku bertembung dengan binatang buas tersebut melainkan bertembung dengan ular-ular kecil. Tetapi apabila pagi menjelma, aku akan dapat lihat kesan tapak kaki, kesan najis atau kesan binatang-binatang buas tersebut memakan durian, kadang-kala tidak jauh dari kawasan pundung. Seperti yang aku ceritakan terdahulu, mungkin binatang-binatang tersebut amat menghormati manusia ketika itu…he,he. Aku paling suka melihat kesan harimau memakan durian. Durian itu dikopek tanpa tercabut dari tangkainya. Seolah-olah menjadi bentuk bunga yang bertangkai. Manakala biji durian itu dijilat licin tanpa ada kesan garisan gigi langsung. Menakjubkan! Aku rasa harimau adalah jenis yang sangat “gentle” apabila memakan durian. Kalau dari segi makhluk dari alam ghaib ini, tidak payah lah aku bercerita di sini. Selalu kedengaran bunyi hilaiannya, tetapi tidak pernah sekali pun bertembung. Mungkin mereka pun menghormati manusia agaknya…entah lah!
Aku teringat juga peristiwa aku mendajalkan isteri aku. Masa itu kami baru bertunang dan beliau ingin sangat merasa kehidupan menunggu durian di malam hari. Jadi pada satu malam itu, kami tidur berama-ramai di dusun bersekali dengan abang aku dan anak-anak saudara aku. Sampai waktu untuk mencari durian yang gugur, aku mencabar isteri aku untuk mencari durian di kawasan batu terbelah di dalam lurah. Aku kata, kalau hendak kahwin dengan orang Bongek, mesti berani. Maklumlah orang Bugis Muar, mestilah hendak tunjuk yang dia berani. Memang dia berani dengan berbekalkan lampu picit, isteri aku tidak teragak-agak mencari durian sambil aku perhatikan dari jauh. Aku tidak beritahu langsung bahawa kawasan itu keras dan tempat laluan “Pak Belang”. Banyak juga dia dapat kutip durian. Keesokkan hari baru aku beritahu tentang kawasan tersebut. Apa lagi…desyum..aku kena bebrapa biji penumbuk isteri aku. Lah, penakut juga orang Bugis Muar ini ya!
Sebenarnya banyak aktiviti aku ketika di dusun. Makan durian itu tidak payah ceritalah. Kita orang makan durian yang baru gugur sahaja. Durian yang gugur semalam sudah di anggap layak untuk dibuat tempoyak. Bukan sombong, tetapi hakikatnya ketika itu kami dapat membuat pilihan yang terbaik. Syukur kepada ALLAH s.w.t. dan terima kasih kepada arwah Datuk dan arwah Nenek kerana berusaha memiliki dan meninggalkan kami dusun ini.
Balik kepada aktiviti di dusun memang banyak. Selain daripada memanjat pokok kundang, manggis atau langsat kami suka mandi di jeram. Pantang matahari naik segalah, kami yang budak-budak ini akan bergegas menuju ke jeram. Perkara pertama yang kami tunggu ialah sahutan dari kawan-kawan kami di dusun-dusun sebelah. Sahutan tersebut amat jelas kedengaran di dusun selain dari bunyi burung atau cengkerik. Setelah berbalas sahutan, kami macam tahu-tahu sahaja akan menuju ke jeram untuk berendam dan mandi-manda. Jeram itu tidak lah jauh sangat dari dusun kami, Cuma perlu melalui beberapa dusun jiran. Kadang-kala dalam perjalanan ke jeram, kami akan dipelawa untuk makan durian oleh jiran-jiran, tetapi selalunya kami tolak. Maklumlah, didusun kami pun banyak durian. Lainlah kalau jiran-jiran “offer” nasi lemak ke, mee goreng ke atau pulut katan ke...memang kami tidak tolak.
Bab panjat-memanjat ini memang kita orang kampong ini sudah dikira “expert”. Kakak-kakak dan abang-abang aku pun sama “terror” macam aku…he,he Kalau dari batang tidak boleh panjat, kami akan panjat dari dahan yang berjuntai. Aku sangat suka makan kundang yang telah masak. Masam dan manisnya amat mengiurkan. Kalau tumbuk sambal belacan dicampur dengan kundang masak, makan dengan nasi yang dibungkus dalam daun pisang beserta ikan goreng atau ikan kering serta tempoyak yang dicampur dengan cili padi…Mak Datuk, sumpah…memang sedap! Pizza Hut, Kenny Rogers atau KFC boleh tolak jauh-jauhlah. Lapa poghut den ahh! Hisssh! Budak ni, botul lah. Mana hendak cari kundang di Lembah Klang ni?
Durian yang gugur sepanjang malam akan dikutip dan dilonggokkan. Kemudian tangkai durian itu akan diikat dengan sejenis tali yang telah diikat seperti rupa sotong yang berkepala dan banyak kaki dan ianya dipanggil “jambak”. Jambak ini selalunya diperbuat dari kulit pokok atau dari tali plastic yang dipintal. Selalunya dalam sepuluh sehingga dua puluh biji durian akan diikat pada satu jambak bergantung kepada besar atau kecil durian tersebut. Bagi durian yang tidak bertangkai, kami akan membuat tangkai tiruan dari ranting kayu kecil yang dipotong sepanjang dua-tiga inci dan dicucuk ke dalam durian dibahagian tangkai durian tersebut. Kemudian dua ikatan durian yang berjambak akan diletakkan di kiri-kanan sebatang kayu pengandar yang diperbuat khas dari buluh. Kemudian kami akan mengandar buah durian tersebut dengan meletakkan kayu pengandar yang terdapat ikatan buah durian dikiri kanan di atas bahu atau belankang tengkok dan berjalan menuju ke tempat letak basikal diseberang sungai. Basikal merupakan pengangkutan tradisional yang digunakan untuk mengangkut durian balik ke rumah atau ke tempat pemborong. Sama ada durian tersebut akan dimasukkan ke dalam bakul rotan besar yang diikat dibelakang basikal atau durian yang berjambak akan disangkutkan pada kayu yang diletakkan di tengah-tengah palang basikal dan akan ditolak sehingga ke rumah atau tempat peraih di tepi jalan didepan kedai runcit emak aku. Di situ pemborong akan menunggu dengan dacing atau alat timbang besar untuk membeli durian dari orang kampong. Pemborong ini akan datang dengan lori besar dan seingat aku durian tersebut akan dibawa ke Singapura untuk dijual disana. Abang-abang aku tersangat pandai berniaga. Mereka akan membeli durian-durian orang kampong didusun dengan kiraan biji. Kemudian mereka akan menjual durian tersebut kepada pemborong mengikut harga timbangan. Masa itu aku kecil, jadi aku tidak tahu dan tidak kisah berapa banyak abang-abang aku mendapat untung. Kalau dia orang bagi aku seringgit dua, aku sudah melompat kegirangan.
Ketika musim durianlah aku tengok abang-abang aku shopping sakkan. Beli seluar jeans AMCO, Lee, Wrangler, Saddle King, Texwood dan kasut-kasut berjenama Adidas dan Clerk. Masa itu Levi’s dan Nike belum begitu popular lagi. Baju pula jenama Arrow, Fruit of The Loom dan Grand Slam. Mewah lah katakan. Bagi orang-orang tua, selalunya hasil durian ini mereka simpan untuk membeli baja atau untuk kegunaan lain yang lebih berfaedah. Dan kebanyakkan duit yang mereka simpan ini akan dihabiskan untuk kegunaan anak-anak mereka. Begitulah pengorbanan mereka. Jadi untuk anak-anak aku, kau orang sedar diri sedikit. Ayah kau orang sampai tahap ini yang membolehkan kau orang makan KFC, Pizza Hut, McDonald, Wendys, Burger King, Big Brothers, TGi Friday, Secret Recipe setiap bulan serta beli handphone, kamera DSLR dan laptop serta broadband, disebabkan pengorbanan arwah Datuk dan nenek kau orang tahu tak? Dengan duit hasil jualan durian, rambutan dan kelapa yang mereka simpan membolehkan Ayah belajar di Universiti dan dapat ijazah. Ha, itulah dia, asyik kata Ayah membebel. Kau orang tunggulah kau orang habis belajar, hidup sendiri. Tahulah untung nasib kau orang nanti! Tkkan kau orang hendak duduk celah ketiak Ayah dan Mama sampai ke tua..he,he!
Begitulah kehidupan aku dikampung semasa musim durian yang telah lama aku tinggal. “Ini durian kampong bang. Dari Termeloh”, jerit seorang penjual durian tepi jalan di Kota Damansara. Lapan ringgit sekilo. Aku terpaksa membeli walaupun tangkai durian tersebut sudah lisut dan sedikit kehitaman sebab anak-anak aku hendak makan durian. Kesibukan dan status hidup aku kini menyebabkan anak-anak aku tidak kenal dusun durian, tidak tahu apa itu menebas, apa itu pundung dan apa itu jambak. Durian juga tidak lagi bermusim, sentiasa ada dipasaran, tetapi tidak seenak durian dari dusun aku di Kampung Bongek. Bagaimanapun, jauh di kampong aku, dusun durian sentiasa memanggil-manggil aku supaya balik ke kampong untuk dibersihkan dari semak-samun ketika musim durian…namun sudah hampir 18 tahun aku tidak menjejakkkan kaki aku ke sana . Pilu juga rasa hati ini, tapi bila hendak ke sana ya?
No comments:
Post a Comment