Tuesday, November 30, 2010

OH DIAN BALIK BANDUNG, MASAK GUGUR, MUDO TERGANTUNG!

“Banyak bungo kayu ah! Tak lamo lai banyak lah buah-buah pokok ni. Ngaso lah kito makan dian!”, luah emak kepada aku. Ketika itu aku sibuk bermain di bawah pokok durian pusaka yang di tanam oleh arwah Datuk aku di sebelah perigi di baruh rumah emak . Bunga-bunga durian itu banyak yang berguguran di atas tanah menghasilkan hamparan bunga durian yang berbau wangi dan segar. Memang betul bagi sesiapa yang ada pokok durian mungkin akan bersetuju dengan aku. Bau bunga durian tidaklah sewangi bunga ros tetapi ianya sangat segar dan menimbulkan semangat kegembiraan kepada aku. Apa yang terbayang kepada aku ketika itu ialah tiga minggu yang penuh dengan aktiviti didusun durian yang begitu menyeronokkan dan begitu dekat dengan kehidupan semula jadi. Orang kampong Bongek sebut durian sebagai “dian”.

Arwah Nenek aku banyak tanah….terdiri dari tanah kampong, sawah  getah dan dusun durian. Salah satu dari tanah tersebut di tanam dengan durian yang kami panggil dusun durian tersebut terletak di kawasan bukit yang bersebelahan dengan hutan besar Banjaran Titiwangsa. Arwah Nenek aku ada  tiga orang anak sahaja iaitu  arwah makcik aku (Ayek), emak aku dan pakcik aku (Achik Chok). Ayek aku ada 1 anak tapi ada 9 cucu. Emak aku ada sembilan anak.  Achik Chok aku ada 4 anak. Jadi kita orang sepupu-sepapat ini tidak lah sebesar mana, tetapi cukup lah untuk menebas kawasan dusun durian yang seluas lebih kurang 3 ekar itu ketika itu.

Lokasi dusun durian arwah Nenek terletak lebih kurang 3 kilometer dari rumah kami. Geograpikalnya adalah kawasan berbukit bersebelahan dengan hutan besar ekor Banjaran Ttiwangsa. Muka buminya adalah ditepi lereng bukit, berbatu besar dan sedikit berlurah. Di dusun inilah arwah Datuk dan arwah Nenek aku  menanam beberapa batang pokok durian di samping pokok manggis, langsat dan kundang. Seingat aku ada lebih kurang 20 pokok durian pusaka yang kami gelarkan durian tebal, durian kuning, durian gansa, durian kundang, durian hijau, durian sireh, durian jantung, durian kocik dan durian dragon. Gelaran ini bukannya gelaran saintifik oleh MARDI tetapi lebih kepada kedudukan batang durian tersebut berhampiran dengan pokok kundang, dililit sireh dan berdasarkan rupa bentuk pokok atau isi durian tersebut. “Favourite” aku adalah durian sireh dan golden dragon sebab isinya tebal dan berwarna kuning seperti gangsa. Pokok-pokok di dusun ini dibiarkan hidup secara semula jadi dan semak-semak yang tumbuh diseluruh kawasan dusun ini akan di bersihkan (ditebas) hanya setahun sekali apabila tiba musim durian. Dulu pokok buah ditanam tidak ikut secara komersil tersusun, tetapi lebih kepada cara semula jadi berdasarkan kedudukkan kawasan muka bumi dusun tersebut. Jadi memandangkan kawasan dusun kami banyak berbatu (boulders), jadi tidak banyak pokok durian yang boleh ditanam, tetapi cukup untuk kami makan sesama sendiri, bersedekah, dijual dan untuk dibuat tempoyak atau “lempok” durian (iaitu isi durian yang dimasak dengan sedikit gula sehingga menjadi kecoklatan seperti dodol dan dimakan sepert dodol atau di cicah kelapa parut).

Selalunya apabila tiba musim durian, kami akan menjalankan upacara meninjau dusun untuk memastikan sama ada terdapat putik durian pada pokok-pokok dusun tersebut. Upacara meninjau ini akan dijalankan secara beramai-ramai oleh arwah bapa, abang-abang aku, arwah pakcik aku, sepupu-sepupu aku dan aku mesti tidak mahu ketinggalan. Kadangkala disetai oleh jiran-jiran yang mempunyai dusun bersebelahan dengan dusun kami. Aku sangat teruja dan seronok kalau dapat pergi ke dusun durian kami walau terpaksa berjalan kaki, merempuh semak belukar, melintas sungai kecil dan mendaki bukit untuk sampai. Aku sangat sukakan hutan, pokok-pokok liar, udara yang segar dan nyaman dapat melihat fauna dan flora disepanjang jalan ke dusun serta yang terdapat di dusun. Warna-warni hutan, flora dan fauna serta kenyamanan udara didusun amat mendamaikan dan amat aku rindui sehingga kini. Selalunya, durian berputik diikuti pokok kundang, pokok langsat dan pokok manggis. Pemandangan yang indah di atas bukit membolehkan kami melihat Kampung Bongek yang samara-samar serta dusun-dusn lain yang berada di bawah kami. Pemandangan dan udara di dusun memang mendamaikan perasaan.

Setelah upacara meninjau dan telah pasti durian telah berputik, tanpa berlengah lagi, kami akan memulakan upacara menebas dusun pula. Ketika ini, arwah bapa, arwah pakcik aku, sepupu-sepupu aku serta aku sendiri yang menjadi pak sibuk akan memulakan upacara menebas dusun. Selalunya tidak lama, dalam empat atau lima hari teranglah dusun itu dari semak samun dan pokok-pokok merayap. Kadang-kala abang-abang serta cucu Ayek  aku yang kesemuanya tinggal di Kuala Lumpur akan balik pada hujung minggu untuk sama-sama menebas. Upacar menebas ini seronok juga, sebab jiran-jiran yang memiliki dusun-dusun bersebelahan akan turut serta membersihkan dusun mereka. Jadi terasa semacam pesta menebas di dalam hutan tersebut. Bercerita pasal menebas, kami selalunya mengunakan peralatan ringkas seperti parang bengkok, parang panjang, sabit dan kapak serta tidak lupa batu pengasah. Masa itu mana ada mesin menebas, Jang oi!. 

Aku paling suka tebang pisang hutan (pisang karuk) sebab batangnya lembut dan aku mula lah berangan jadi pendekar seperti Harimau Berantai atau Panca Delima (Siapa itu? Hendak tahu siapa? Tengok filem Melayu lama. Nanti engkau orang tahu lah siapa hero-hero aku ini). Dalam mengerjakan batang pisang karuk ini, aku akan tetak sana, tetak sini dikeseluruhan batang pisang karuk tersebut. Tidak habis dengan tetakan, aku akan terajang batang pokok pisang tersebut sesuka hati. Maklumlah batang pisang, lembut, dah tu tidak melawan pula. Sayang pisang? Pisang karuk ini pisang hutan. Buahnya boleh dimakan tapi orang tidak suka sebab terlalu banyak biji. Yang “confirm” tidak tolak adalah kera atau monyet (beruk) sahaja. Yang selalu digunakan oleh orang hanya daunnya sahaja buat bungkus durian muda atau isi durian yang akan dibuat tempoyak. Tetapi aku selalu gunakan daun pisang karuk tersebut untuk dijadikan pinggan nasi. Sekarang ini di Lembah Klang sudah banyak restoran “banan leaf” dengan lauk-pauk yang kalau tidak berhati-hati boleh mendatangkan penyakit orang-orang kaya. Bagaimanapun lauk pauk dan perasaanya amat berbeza. Makan di dusun dengan makan di restoran, mana hendak sama ya tak?

Kalau menebas pokok-pokok kecil atau semak-samun aku selalunya akan curi tulang..ha,ha…maklumlah budak kecil. Mana kuat kan? Tidak percaya Tanya emak aku. “Betul tak Mak?” Semasa orang lain sibuk menebas, aku paling suka cari dan kumpulkan ulat gonggok…warna hitam berbelang kuning. Panjang lebih kurang 1 inci dan lebar lebih kurang ½ inci. Apabila disentuh, ianya akan bergulung menjadi seperti bola kecil/guli. Aku suka letak atas tangan. Apabila ulat gongok tersebut tidak merasa terancam, ia akan terbuka dan mula berjalan di atas tapak tangan. Kadang-kadang aku bawa balik untuk terus bermain dengannya di rumah. Tetapi kerap kali aku kehilangan ulat gongok tersebut, sebab aku terlupa bahawa ianya hidup dan boleh berjalan. Sudah tentulah ulat gongok tersebut ingat menyelamatkan diri dari jadi mangsa persendaan atau jadi ulat sirkus aku…kan?

Kalau jumpa kala jengking (scorpion) aku akan potong bisa di hujung ekor. Kemudian ikat dengan tali dan ikut kala jengking itu berjalan mcam orang bawa anjing berjalan lah….cheh! Kira “terror” lah tu. Tiap-tiap kali menebas mesti tidak dapat elak dari bunuh ular. Bab-bab ular ini aku geli sikit sahaja tetapi takut banyak. Jadi aku akan duduk jauh-jauh dari ular yang telah dibunuh tersebut. Abang-abang dan sepupu-sepupu aku pun satu. Dia orang ini kalau nampak ular, mula lah meluap-luap “deria pembunuh” mereka. Padahal ular tersebut sudah hampir setahun duduk dalam semak itu. Sudah lah sarang dia kena kacau, terperanjat lagi, lepas itu jadi mangsa kebuasan nafsu pembunuh abang-abang dan sepupu-sepupu aku. Kejam kan. Lepas itu dia lempar pula ular yang sudah mati itu kepada aku. Apa lagi, aku akan melompat kegelian (eleh…ketakutan yang sebenarnya). Nasib baik ada arwah bapa atau emak, boleh menyorok belakang mereka. Sysssss! Sebenarnya sampai sekarang aku takutkan ular. Bertembung dengan ular lidi pun aku boleh lari berketuntang (alah…lintang pukang lah. Itu pun tak tahu). Tolong jangan beritahu orang rahsia aku ini …ok!

Dalam upacara menebas tadi, pokok-pokok yang bermanfaat akan di tinggalka untuk dikutip pucuknya kemudian untuk dibuat ulam atau dimasak. Contohnya seperti pucuk lepu, pucuk cemperai dan sepesis lain yang boleh dimakan. Yang menghairankan, banyak juga pokok-pokok cili padi yang tumbuh meliar di kawasan dusun tersebut. Apabila sudah bersekolah, baru aku tahu. Mungkin biji benihnya diterbangkan angin atau burung. Setidak-tidaknya terpalit pada bulu monyet atau kera…”Jangan sang monyet…he,he”. Malangnya semua usaha mereka adalah sia-sia sahaja sebab kena kepada aku, habis semua pokok-pokok yang tidak ditebas aku libas…manalah aku tahu pokok2 itu berguna…maklumlah budak kecil..ikut suka hati aku sahaja lah. Aku nampak pokok-pokok itu macam aku boleh “handle” sahaja dengan parang panjang aku…he,he! Selalu juga emak atau abang-abang aku menjerit, tetapi dah terlambat dah.

Selepas selesai menebas, kami akan mendirikan pondok menunggu durian. Pondok atau lebih kami kenali sebagai pundung ini akan di buat sedikit kukuh untuk kegunaan siang dan malam sepanjang musim durian tersebut. Ianya akan didirikan di kawasan yang lebih tinggi supaya senang kami melihat disekeliling dusun. Tiang pundung akan mengunakan batang-batang pokok hutan sebesar betis dan lantai serta dinding mengunakan buluh yang telah diketuk menjadi leper. Akar atau kulit kayu akan digunakan untuk mengikat tiang-tiang, dinding dan lantai untuk menjadi lebih kukuh. Dibahagian atap zink lama akan digunakan dan ditutup daun pisang hutan. Kira kukuh dan selesa lah untuk tidur, duduk atau makan di dalamnya. Ia seharusnya begitu kerana ianya akan dihuni siang dan malam sepanjang musim durian ini.

Durian harus ditunggu pagi, petang, siang dan malam. Kalau tidak, durian itu akan hilang sebab ada mahkluk-mahkluk bernama “pencuri” akan mengutip durian-durian tersebut. Maklum lah ketika itu, durian amat berharga. Jadi mereka yang tidak bertanggung jawab ini akan mengambil kesempatan dari penat jerih orang lain. Aku suka juga ikut arwah bapa atau abang-abang aku menunggu durian di waktu malam. Selalunya selepas solat Isya’, kami akan bersiap sedia untuk pergi ke dusun untuk menunggu durian sampai ke pagi. Selalunya emak akan bekalkan aku dengan air kopi atau teh panas yang disi dalam “thermos” serta sedikit biskut bulat. Sebenarnya tiada istilah kelaparan semasa menunggu durian. Kenapa? Lah, bukan kah banyak durian yang boleh dimakan untuk menghilangkan lapar dan untuk memanaskan badan. Apalah kau orang ini. Aku tidak tahu secara saintifik kenapa durian boleh memanaskan badan dan ianya ternyata benar. Mungkin anak-anak aku atau anak-anak saudara aku yang pandai-pandai dan berfikiran saintifik itu boleh memberikan penjelasan yang lebih terperinci.

Aku suka dengar bunyi durian gugur dan aku suka udara nyaman yang sejuk di waktu malam dan pagi di dusun. Maklumlah dalam hutan. Memang betul-betul sejuk,. Setakat Cameron Highland itu, boleh lawanlah sejuknya. Aku akan ikut arwah ayah atau abang-abang aku untuk mencari durian dari satu pokok ke satu pokok dari masa ke semasa sepanjang malam itu. Mungkin rezeki dari ALLAH, kadang-kadang lebih dari 50 biji durian yang terkumpul sepanjang malam. Itu sudah ditolak apa yang aku sudah kendurikan. Apabila pagi, emak dan kakak aku akan datang, bawa bekalan. Kalau aku tidak ke sekolah aku akan duduk di dusun sehingga senja dan datang balik pada waktu malam. Memang sepanjang musim durian ini, aku sangat suka berada didusun, sampai sanggup ponteng sekolah.  Ialah orang kamponglah katakan. Mana lagi hendak pergi. Mana ada “One Utama” atau “The Curve” masa itu. Kalau ada pekan yang dekat dan besar sedikit, kena pergi Tampin lah. Kalau setakat pekan Rembau, tidak sampai 5 minit, sudah habis keliling satu pekan. He,he..jangan marah ya orang Rembau!

Waktu malam di dusun memang sejuk dan sedikit menyeramkan. Jadi untuk mengelakkan dari kesejukan, unggun api akan di hidupkan. Sambil-sambil itu boleh masak air untuk dibuat kopi untuk dicicah biskut kering atau biskut bulat. Biskut bulat itu adalah roti kering. Sangat popular di Kampung Bongek ketika dahulu kala. Bunyi-bunyian di waktu malam di dusun juga amat pelik dan kadang-kadang menakutkan, tetapi arwah bapa ada seorang yang amat berani dan berfikiran positif. Arwah bapa ada memiliki senapang dan senapang itu sentiasa berada dekat dengan beliau. Beliau sentiasa menenangkan aku dan meniupkan semangat kepada aku untuk menjadi seorang yang berani. Walau pun begitu, aku rasa sehingga kini aku tidak mewarisi keberanian beliau. Beliau boleh berada di dusun seorang diri diwaktu malam, tetapi aku mesti ada sekurang-kurangnya empat atau lima orang kawan atau anak-anak saudara aku untuk dijadikan teman.

Kedudukan dusun tersebut yang bersebelahan dengan hutan besar (ekor Banjaran Titiwangsa) menyaksikan kehadiran beberapa binatang buas seperti harimau, beruk, beruang dan sebagainya. Nasib aku memang baik kerana sepanjang pengalaman aku berada di dusun diwaktu malam, aku hanya terbau hamis binatang buas dan kadangkala tersuluh mata binatang buas tersebut di samping sekali-sekala terdengar bunyi binatang-binatang tersebut. Tidak pernah dalam sejarah hidup aku bertembung dengan binatang buas tersebut melainkan bertembung dengan ular-ular kecil. Tetapi apabila pagi menjelma, aku akan dapat lihat kesan tapak kaki, kesan najis atau kesan binatang-binatang buas tersebut memakan durian, kadang-kala tidak jauh dari kawasan pundung. Seperti yang aku ceritakan terdahulu, mungkin binatang-binatang tersebut amat menghormati manusia ketika itu…he,he. Aku paling suka melihat kesan harimau memakan durian. Durian itu dikopek tanpa tercabut dari tangkainya. Seolah-olah menjadi bentuk bunga yang bertangkai. Manakala biji durian itu dijilat licin tanpa ada kesan garisan gigi langsung. Menakjubkan! Aku rasa harimau adalah jenis yang sangat “gentle” apabila memakan durian. Kalau dari segi makhluk dari alam ghaib ini, tidak payah lah aku bercerita di sini. Selalu kedengaran bunyi hilaiannya, tetapi tidak pernah sekali pun bertembung. Mungkin mereka pun menghormati manusia agaknya…entah lah!

Aku teringat juga peristiwa aku mendajalkan isteri aku. Masa itu kami baru bertunang dan beliau ingin sangat merasa kehidupan menunggu durian di malam hari. Jadi pada satu malam itu, kami tidur berama-ramai di dusun bersekali dengan abang aku dan anak-anak saudara aku. Sampai waktu untuk mencari durian yang gugur, aku mencabar isteri aku untuk mencari durian di kawasan batu terbelah di dalam lurah. Aku kata, kalau hendak kahwin dengan orang Bongek, mesti berani. Maklumlah orang Bugis Muar, mestilah hendak tunjuk yang dia berani. Memang dia berani dengan berbekalkan lampu picit, isteri aku tidak teragak-agak mencari durian sambil aku perhatikan dari jauh. Aku tidak beritahu langsung bahawa kawasan itu keras dan tempat laluan “Pak Belang”. Banyak juga dia dapat kutip durian. Keesokkan hari baru aku beritahu tentang kawasan tersebut. Apa lagi…desyum..aku kena bebrapa biji penumbuk isteri aku. Lah, penakut juga orang Bugis Muar ini ya!

Sebenarnya banyak aktiviti aku ketika di dusun. Makan durian itu tidak payah ceritalah. Kita orang makan durian yang baru gugur sahaja. Durian yang gugur semalam sudah di anggap layak untuk dibuat tempoyak. Bukan sombong, tetapi hakikatnya ketika itu kami dapat membuat pilihan yang terbaik. Syukur kepada ALLAH s.w.t. dan terima kasih kepada arwah Datuk dan arwah Nenek kerana berusaha memiliki dan meninggalkan kami dusun ini.

Balik kepada aktiviti di dusun memang banyak. Selain daripada memanjat pokok kundang, manggis atau langsat kami suka mandi di jeram. Pantang matahari naik segalah, kami yang budak-budak ini akan bergegas menuju ke jeram. Perkara pertama yang kami tunggu ialah sahutan dari kawan-kawan kami di dusun-dusun sebelah. Sahutan tersebut amat jelas kedengaran di dusun selain dari bunyi burung atau cengkerik. Setelah berbalas sahutan, kami macam tahu-tahu sahaja akan menuju ke jeram untuk berendam dan mandi-manda. Jeram itu tidak lah jauh sangat dari dusun kami, Cuma perlu melalui beberapa dusun jiran. Kadang-kala dalam perjalanan ke jeram, kami akan dipelawa untuk makan durian oleh jiran-jiran, tetapi selalunya kami tolak. Maklumlah, didusun kami pun banyak durian. Lainlah kalau jiran-jiran “offer” nasi lemak ke, mee goreng ke atau pulut katan ke...memang kami tidak tolak.  

Bab panjat-memanjat ini memang kita orang kampong ini sudah dikira “expert”. Kakak-kakak dan abang-abang aku pun sama “terror” macam aku…he,he Kalau dari batang tidak boleh panjat, kami akan panjat dari dahan yang berjuntai. Aku sangat suka makan kundang yang telah masak. Masam dan manisnya amat mengiurkan. Kalau tumbuk sambal belacan dicampur dengan kundang masak, makan dengan nasi yang dibungkus dalam daun pisang beserta ikan goreng atau ikan kering serta tempoyak yang dicampur dengan cili padi…Mak Datuk, sumpah…memang sedap! Pizza Hut, Kenny Rogers atau KFC boleh tolak jauh-jauhlah. Lapa poghut den ahh! Hisssh! Budak ni, botul lah. Mana hendak cari kundang di Lembah Klang ni?

Durian yang gugur sepanjang malam akan dikutip dan dilonggokkan. Kemudian tangkai durian itu akan diikat dengan sejenis tali yang telah diikat seperti rupa sotong yang berkepala dan banyak kaki dan ianya dipanggil “jambak”. Jambak ini selalunya diperbuat dari kulit pokok atau dari tali plastic yang dipintal. Selalunya dalam sepuluh sehingga dua puluh biji durian akan diikat pada satu jambak bergantung kepada besar atau kecil durian tersebut. Bagi durian yang tidak bertangkai, kami akan membuat tangkai tiruan dari ranting kayu kecil yang dipotong sepanjang dua-tiga inci dan dicucuk ke dalam durian dibahagian tangkai durian tersebut. Kemudian dua ikatan durian yang berjambak akan diletakkan di kiri-kanan sebatang kayu pengandar yang diperbuat khas dari buluh. Kemudian kami akan mengandar buah durian tersebut dengan meletakkan kayu pengandar yang terdapat ikatan buah durian dikiri kanan di atas bahu atau belankang tengkok dan berjalan menuju ke tempat letak basikal diseberang sungai. Basikal merupakan pengangkutan tradisional yang digunakan untuk mengangkut durian balik ke rumah atau ke tempat pemborong. Sama ada durian tersebut akan dimasukkan ke dalam bakul rotan besar yang diikat dibelakang basikal atau durian yang berjambak akan disangkutkan pada kayu yang diletakkan di tengah-tengah palang basikal dan akan ditolak sehingga ke rumah atau tempat peraih di tepi jalan didepan kedai runcit emak aku. Di situ pemborong akan menunggu dengan dacing atau alat timbang besar untuk membeli durian dari orang kampong. Pemborong ini akan datang dengan lori besar dan seingat aku durian tersebut akan dibawa ke Singapura untuk dijual disana. Abang-abang aku tersangat pandai berniaga. Mereka akan membeli durian-durian orang kampong didusun dengan kiraan biji. Kemudian mereka akan menjual durian tersebut kepada pemborong mengikut harga timbangan. Masa itu aku kecil, jadi aku tidak tahu dan tidak kisah berapa banyak abang-abang aku mendapat untung. Kalau dia orang bagi aku seringgit dua, aku sudah melompat kegirangan.

Ketika musim durianlah aku tengok abang-abang aku shopping sakkan. Beli seluar jeans AMCO, Lee, Wrangler, Saddle King, Texwood dan kasut-kasut berjenama Adidas dan Clerk. Masa itu Levi’s dan Nike belum begitu popular lagi. Baju pula jenama Arrow, Fruit of The Loom dan Grand Slam. Mewah lah katakan. Bagi orang-orang tua, selalunya hasil durian ini mereka simpan untuk membeli baja atau untuk kegunaan lain yang lebih berfaedah. Dan kebanyakkan duit yang mereka simpan ini akan dihabiskan untuk kegunaan anak-anak mereka. Begitulah pengorbanan mereka. Jadi untuk anak-anak aku, kau orang sedar diri sedikit. Ayah kau orang sampai tahap ini yang membolehkan kau orang makan KFC, Pizza Hut, McDonald, Wendys, Burger King, Big Brothers, TGi Friday, Secret Recipe setiap bulan serta beli handphone, kamera DSLR dan laptop serta broadband, disebabkan pengorbanan arwah Datuk dan nenek kau orang tahu tak? Dengan duit hasil jualan durian, rambutan dan kelapa yang mereka simpan membolehkan Ayah belajar di Universiti dan dapat ijazah. Ha, itulah dia, asyik kata Ayah membebel. Kau orang tunggulah kau orang habis belajar, hidup sendiri. Tahulah untung nasib kau orang nanti! Tkkan kau orang hendak duduk celah ketiak Ayah dan Mama sampai ke tua..he,he!

Begitulah kehidupan aku dikampung semasa musim durian yang telah lama aku tinggal. “Ini durian kampong bang. Dari Termeloh”, jerit seorang penjual durian tepi jalan di Kota Damansara. Lapan ringgit sekilo. Aku terpaksa membeli walaupun tangkai durian tersebut sudah lisut dan sedikit kehitaman sebab anak-anak aku hendak makan durian. Kesibukan dan status hidup aku kini menyebabkan anak-anak aku tidak kenal dusun durian, tidak tahu apa itu menebas, apa itu pundung dan apa itu jambak. Durian juga tidak lagi bermusim, sentiasa ada dipasaran, tetapi tidak seenak durian dari dusun aku di Kampung Bongek. Bagaimanapun, jauh di kampong aku, dusun durian sentiasa memanggil-manggil aku supaya balik ke kampong untuk dibersihkan dari semak-samun ketika musim durian…namun sudah hampir 18 tahun aku tidak menjejakkkan kaki aku ke sana. Pilu juga rasa hati ini, tapi bila hendak ke sana ya?

Monday, October 25, 2010

"NGOCHA KITO JI"?



“Assalamualaikum! Ngocha kito Ji?” aku terdengar arwah Chu Bata mengajukan soalan kepada arwah bapa ku sambil ditanganya terdapat jala. “Sodang eloklah tu. Padi pun dah habih botuai. Poi lah lu, kojap lai esei sampai” jawab arwah bapa. Aku terus mendapatkan emak, “Mak nak ikut!”. “Poi lah dengan apak. Pakai baju buruk. Kang bogolumang dalam lumpur” jawab emak sambil tersenyum. Tidak terkira gembira rasa hati sambil berlari-lari anak mengikut arwah bapaku dari belakang. Ketika itu aku lihat emak pun mengikut perlahan dari belakang

Engkau orang hendak tahu “mongocha” itu apa? Sebenarnya “menghocha” itu adalah salah satu cara orang-orang Bongek menangkap ikan beramai-ramai. Selalunya ia dilakukan selepas musim menuai dan selalunya disebelah pagi. Orang kampong akan datang beramai-ramai membawa jala, tangguk dan baldi ayan (tin) ke tepi sungai ditengah-tengah sawah Bongek. Selalunya macam pesta, cuma tidak ada pesta makanan atau gerai-gerai makanan la...! Sungai itu tidaklah besar sangat, lebih kurang 10 kaki lebar, berpasir, sedikit berlumpur dan dalamnya lebih kurang setakat lutut orang dewasa. Bagi kanak-kanak seperti aku ini, kira dalam lah tu. Tetapi kalau hari hujan lebat, jangan main-main. Sungai tersebut akan menjadi dalam paras pinggang secara tiba-tiba dan berarus deras. Kadang-kala sungai tersebut akan bah (banjir) menengelamkan petak-petak sawah yang bersebelahan.

Kembali kepada cerita “mengocha” di mana sungai yang dimaksudkan tadi  akan diempang  dengan menimbunkan tanah, lumpur  dan ranting-ranting di kedua bahagian sungai tersebut (hulu dan hilir) yang akan membentuk petak empat segi yang kita orang panggil lubuk. Selalunya orang-orang kampong amat arif dimana bahagian sungai tersebut banyak terdapat ikan atau lebih dikenali sebagai lubuk ikan. Kemudian air sungai akan ditimba keluar ke dalam petak sawah bersebelahan sungai meninggalkan sedikit air didalam petak sungai (lubuk) yang telah diempang tadi. Kemudian orang kampong, selalunya orang lelaki akan masuk ke dalam petak sungai (lubuk) yang hampir kering dan telah menjadi berlumpur dan mula membawa tangguk dan jala sambil menangkap ikan yang telah kelemasan kerana kekurangan air.  Ikan-ikan yang terapung senang untuk ditangguk, sementara ikan-ikan yang degil seperti ikan haruan, ikan keli dan ikan puyu akan menyusup lebih jauh ke dalam lumpur disekitar atau ditebing petak sungai (lubuk) tadi. Jadi penangkap-penangkap ikan ini akan membenamkan tangan lebih jauh ke dalam lumpur sambil meraba-raba ikan-ikan yang menyorok dalam lumpur tadi. Ini dinamakan “mongobok” atau bahasa dewan bahasa dan pustakanya “menyeluk”. “Kobok” maksudnya seluk.

Aku dan kawan-kawanpun tidak ketinggalan untuk turut serta dalam upacara “mongobok” ini. Seronoknya memang tidak terkira kerana dapat bermain lumpur dan dapat menangkap ikan. Selalunya kita orang dapat tangkap ikan putih, ikan sepat, ikan belida, ikan puyu, ikan keli, ikan haruan, belut  dan beberapa spesis yang aku kurang tahu. Ikan keli kita orang yang kanak-kanak ini tidak berani tangkap sebab ada sengat. Ia memerlukan kepakaran untuk menangkap ikan  keli ini. Selalunya kalau kena sengat ikan keli, ubatnya senang sahaja, picit dengan kuat dikeliling bekas yang disengat sehingga mengeluarkan darah yang bercampur bisa tersebut dari luka sengatan tadi. Kemudian dikencing ditempat luka kena sengat tersebut. Air kencing sendiripun boleh.  Walaupun pelik tetapi memang mujarab. Aku rasa mesti ada penjelasan saintifik mengenai kaedah tersebut. Bagaimanapun sengatan ikan keli tidaklah terlalu merbahaya sehingga boleh membawa maut, tetapi akan mengalami kesakitan yang berdenyut-denyut untuk beberapa jam.  Kalau kanak-kanak yang kena sengatan tersebut boleh kering juga air mata kerana menangis. Kalau tidak percaya, engkau tanya aku..he,he!

Bercerita pasal “mengobok” ini, kadang-kadang  ada juga yang terseluk ular yang terdapat didalam lumpur tersebut tetapi selalunya ular kecil ataupun anak ular sawa. Selalunya kalau tertarik ular, kanak-kanak akan bertempiar lari keluar dari sungai, tetapi orang-orang kampung dewasa atau tua  yang lain “rilek” sahaja, macam tidak ada apa-apa. Seperti mana kerbau-kerbau menghormati manusia di kampong aku, agaknya binatang-binatang lain juga serupa. Senang sahaja hendak tahu kita terpegang ular atau ikan. Kalau licin memang ikan tetapi jika kesat memang sah ular. Jadi cepat-cepatlah tarik tangan. Bagi ular-ular yang ditarik keluar dari dalam lumpur, orang kampong  akan melepaskan ular tersebut ke dalam sawah dan ular tersebut akan meluncur laju menjauhi kami tanpa menunjukkan sebarang dendam. Ia ke? Mana aku tahu! Pertamanya aku tidak faham bahasa ular. Keduannya, aku tengok ular pun sudah geli geleman, inikan hendak bertentang mata dengan ular tersebut....memang mengerunkan..tidak payah kena tunggu disengat ikan keli pun kencing sudah keluar dengan sendirinya!



Seterusnya, apabila dirasakan tiada ikan lagi, empangan tersebut akan diruntuhkan bagi mengembalikan aliran air sungai seperti sediakala. Saat itu memang mengasyikkan aku kerana sungai yang keruh tadi akan beransur-ansur menjadi jernih semula dan percaya atau tidak, dalam kejernihan air sungai tersebut akan kelihatan anak-anak ikan yang begitu halus sekali  berenang-renang ke sana kemari. Itulah agaknya kuasa TUHAN, sentiasa ada gantinya bagi ikan-ikan yang telah ditangkap tadi. Kemudian mereka yang terlibat mengobok ikan tadi akan terjun semula ke dalam sungai untuk mencuci lumpur dibadan dan pakaian. Ini juga salah satu “part” yang aku suka. Kadang-kadang orang lain sudah selesai, kami yang kanak-kanak ini masih lagi berendam.
Ikan-ikan yang ditangkap semasa mengobok tadi akan dimasukkan ke dalam baldi ayan atau bekas yang berisi air. Ini bagi menjamin ikan-ikan itu sentiasa hidup (“fresh”) sebelum di siang di rumah masing-masing. Ikan selalunya disiang hidup-hidup . Kadang-kadang ikan yang telah disiang masih bergerak dan megeletek di dalam bekas. Kejamkan!

Selalunya hasil tangkapan amat memuaskan dan boleh dibahagi sama rata di antara penangkap-penangkap ikan yang terlibat dalam upacara “mengocha” tadi. Kadang-kadang bukan sahaja ikan yang diperolehi, orang-orang perempuan akan sibuk juga menangguk udang-udang kecil yang halus serta mengutip siput (siput sedut) disepanjang sungai tersebut. Jadi aktiviti tersebut akan member stok lauk untuk satu minggu. Tidak perlu peti sejuk, sebab ikan yang dibawa balik hidup-hidup  akan disimpan dalam tempayan berair dan ditutup. Tutup tempayan akan dihimpit dengan batu atau kayu berat bagi mengelakkan penutup terjatuh dan ikan melompat keluar, terutama ikan haruan. Banyak kali aku mengalami ikan haruan yang ditangkap telah melompat keluar dari tempayan dan ikan haruan tersebut akan bergerak laju di atas tanah menuju ke dalam kawasan berumput. Ikan haruan ini boleh tahan tanpa air untuk beberapa hari di atas tanah. Apa yang akan dilakukan oleh ikan haruan adalah mengerudi ke dalam tanah untuk mendapatkan sumber air di dalam tanah sehingga ikan tersebut sampai ke sumber air seperti paya, kolam atau sungai.

Aku paling suka kalau emak goreng ikan puyu atau ikan sepat. Ikan keli selalunya di panggang terlebih dahulu dan kemudian dimasak lemak cili api bersama belimbing buluh. Adakalanya ikan puyu akan dibela didalam rumah (dalam balang kaca). Kata orang-orang tua, ikan puyu dapat mengelakkan penghuni rumah dari terkena sihir atau dipukau. Ketika itu, sekiranya ada tetamu yang datang dan ikan puyu yang dibela mati, itu petanda tetamu tersebut ada mengamalkan ilmu hitam atau sihir. Emak aku tidak suka makan ikan haruan. Jadi ikan haruan ini selalunya akan diberi kepada jiran-jiran tanpa sebarang bantahan dari arwah bapa atau kami adik-beradik. Hendak tahu kenapa? Sebab ketika itu, masak memasak ini adalah hak eksklusif emak. Yang lain tidak berani menentukan apa yang perlu dimasak, tetapi kita orang adik-beradik boleh lah membuat sedikit permintaan dan selalunya tidak akan dihampakan oleh emak.

“Mana sungai itu Ayah!” tanya anak aku Uwais yang mengejutkan aku dari memori silam. “Sekejap lagi, dalam perjalanan ke masjid Bongek untuk sembahyang raya, ayah tunjukkan,” kataku menjawab.  Malangnya ketika kami melintasi sungai tersebut, ianya tidak kelihatan seperti sungai lagi malahan kelihatan amat kecil seolah-olah seperti longkang ditepi rumah aku di Subang Bestari. Alahai Bongek...kampungku. Apa yang hendak ku tunjukkan kepada anak-anak aku ini?




Tuesday, October 19, 2010

"KAYU BOGHAKA"



Aku bangun pagi itu dan aku lihat arwah ayah sudah bersiap dengan pakaian ringkas dan parang sudah tersisip di pinggang. Tetapi kenapa arwah bapa tidak mengenakan pakaian untuk ke sawah atau ke kebun sebaliknya sedikit kemas! Kemudian aku dengar emak berkata, "copek poi mandi. Kito hendak poi gumah Long Tijah kau, ado "kayu boghaka". Tahulah aku minggu depan ada orang akan melangsungkan perkahwinan. Selalunya di kampung Bongek, segala majlis perkahwinan akan disambut dengan begitu meriah sekali tetapi bukannya mewah. Apa yang dimaksudkan meriah ialah ianya dijayakan dengan gotong royong orang kampung. Semua keluarga yang ada di kampung itu termasuklah kanak-kanak akan terlibat untuk menjayakan majlis tersebut.

Dari mana asal 'statement' - "kayu boghaka" ini aku tidak pula sempat untuk menyelidikinya. Apa yang dimaksudkan dengan "kayu boghaka" ialah gotong-royong untuk membantu bakal pengantin untuk membuat persiapan untuk melaksanakan majlis perkahwinan. Seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung, orang-orang kampung akan berkumpul di rumah bakal pengantin untuk begotong royong mendirikan khemah makan, tempat menyenduk makanan, tempat menyediakan air, khemah tempat memasak dan pelamin. Hampir kesemua tempat-tempat yang dinyatakan diatas akan dibuat secara bergotong royong. 


Jadi semua orang kampung akan pergi ke rumah bakal pengantin. Kemeriahannya tidak kurang seperti majlis perkahwinan itu sendiri cuma tiada pengantin sahajalah. Apabila sampai dirumah bakal pengantin, sarapan pagi akan dihidangkan dan yang pasti mesti ada pulut kuning dicecah dengan acar timun berbawang, berempah dan bekerisik, kuih biskut bulat (roti kering) dan lengkong (agar-agar atau jelly sirap) serta air teh-o disamping rokok percuma. Kalau keluarga yang berada sedikit, ada kuih bahulu dan teh susu dan rokok pun berjenama juga. Dulu jenama rokok amat berbeza, contohnya Rough Rider, Signal, Gold Leaf, 555, Rothman dan lain-lain yang tidak berapa aku ingat. Rokok seperti Benson, Dunhill, Wiston dan More termasuk dalam jenama mahal. Disamping itu, jarang pula aku tengok ada nescafe atau milo. Zaman itu nescafe dan milo adalah dalam kategori barangan mewah. Mungkin juga kakak aku di Seremban itu mampulah membeli nescafe dan milo agaknya ketika itu....he,he!

Kemudian orang-orang kampung akan membahagikan diri mereka kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan akan masuk ke dalam hutan untuk mencari buluh. Satu kumpulan untuk mencari dahan-dahan atau batang pokok mati untuk dijadikan kayu api. Satu kumpulan akan mengangkat  khemah dan papan dari setor balairaya kampung. Satu kumpulan akan mengangkat periuk, kuali besar, pinggan mangkuk serta cawan dari setor masjid atau dipinjam dari jiran yang memiliki  peralatan tersebut. Sementara orang-orang perempuan akan sibuk dengan aktiviti masak-memasak dan hias-menghias. Semua aktiviti akan selalu bermula dari awal pagi dan selalunya akan berakhir sebelum tengah hari. Zaman itu tidak ada orang menyediakan khidmat khemah, kerusi meja  atau "catering". Semuanya akan dibuat sendiri oleh orang-orang kampung. Orang kampung ketika itu amat bermuafakat sekali.


Aku selalunya suka mengikut arwah bapa dan beberapa orang kampung dalam kumpulan itu untuk mencari buluh di dalam hutan. Buluh-buluh kecil, sederhana dan besar akan ditebang dipangkal paling hampir dengan tanah dalam jumlah yang mencukupi untuk mendirikan khemah, tempat menyenduk, tempat menyediakan air dan khemah memasak. Mengikut arwah bapa, buluh harus dipotong sehingga pangkal tanpa meninggalkan tunggul yang panjang. Ini bagi mebolehkan buluh itu untuk bertunas dan tumbuh semula. Selain itu, tunggul yang tinggi dan tajam akan membahayakan kerja-kerja menebang buluh dimasa akan datang. Mengikut kepercayaan orang dahulu, orang yang berilmu kebal pun boleh ditikam mengunakan buluh runcing..."buluh runcing satu"...kata Mi sambil meniup bangsi ajaib dalam cerita Laksamana Do Re Mi...he,he!

Kemudian tunas-tunas berdaun yang tumbuh di setiap ruas buluh akan dibuang dan buluh-buluh tersebut akan diikat dengan akar hutan (pokok melilit) dalam dua sehingga empat batang dalam seikat, bergantung kepada besar atau kecil buluh tersebut. Kemudian buluh-buluh tersebut akan ditarik sambil berjalan kaki ke rumah bakal pengantin. Perlu diingat, buluh harus di tarik dari pangkal bukan dari pucuk. Ini bagi mengelakkan  tunas-tunas buluh dari tersangkut dengan rumput atau semak-semak ketika di tarik, Maklumlah dalam hutan dan denai jalan kampung, mana ada jalan tar atau highway masa itu. Jauh sekali ada "4 wheel drive" untuk mengangkut buluh-buluh itu. Aku pun tolong tarik juga, tetapi sebatang buluh kecil sahaja yang selalunya akan dijadikan batang bunga manggar.

Apabila sampai ke rumah bakal pengantin, kerja-kerja mendirikan khemah akan dimulakan dan beberapa kumpulan akan dibahagi secara sukarela. Bak kata orang putih, "no hard and fast rule...just do what you feel like doing". Aku suka tengok arwah bapa dan "geng-geng" beliau mendirikan khemah makan. Bebarapa lubang kecil bersaiz batang buluh sedalam 2 kaki akan digali mengunakan pengali. Cangkul tidak boleh, sebab nanti lubang jadi besar. Buluh-buluh besar akan dipotong dalam ukuran lebih kurang 15 kaki dan ditanam ke dalam lubang yang digali tadi untuk dijadikan tiang-tiang khemah. Kemudian palang buluh dinaikkan dari satu tiang ke satu tiang dan diikat dengan tali "rapia" sehingga kukuh. Memang betul-betul kukuh. Kemudian beberapa buluh kecil yang secukupnya akan didiletakkan dari palang ke palang sebagai palang untuk menahan khemah yang akan dibentang di atas kerangka buluh tersebut. 

Sebelum khemah dibentang, meja panjang dan bangku panjang akan didirikan dalam dua barisan di dalam kerangka khemah makan tersebut. Meja panjang itu merupakan papan-papan  yang diatur bersebelahan antara satu sama lain diatas palang bertiang buluh yang mempunyai ketinggi seperti meja makan kita dirumah sementara bangku panjang mengunakan "method" (cara) yang sama akan didirikan di kiri-kanan meja tersebut. Jadi terhasillah dua barisan meja papan panjang beserta bangku papan panjang bertiangkan buluh di dalam khemah makan tersebut. 


Kemudian khemah akan dinaikkan dan dibentang diatas kerangka buluh tadi dan diikat kemas. (Kadang-kadang khemah hanya akan dinaikkan sehari sebelum majlis berlangsung). Maka terdirilah khemah makan. Khemah ini selalunya berwarna hijau perang dan menurut orang-orang kampung, ianya merupakan canvas khemah askar yang dibawa balik oleh beberapa anak-anak kampung yang menjadi askar ketika pulang bercuti. Ianya kalis air dan sangat berat. Dua atau tiga orang diperlukan untuk mengangkat khemah tersebut. Pada hari majlis perkahwinan, tiang-tiang buluh tersebut akan dililit dengan reben kertas berwarna warni, selalunya mengikut warna kesukaan tuan rumah atau bakal pengantin.

Jadi cara yang sama di gunakan untuk khemah menyenduk atau khemah memasak. Bezanya, bagi khemah menyenduk tiada meja sebaliknya dihamparkan papan di keseluruhan permukaan bawah khemah tersebut dan bertiangkan buluh pendek (lebih kurang 6 inci). Ianya akan digunakan oleh orang-orang perempuan untuk menyenduk nasi dan lauk-pauk ke dalam pinggan hidang. Kemudian pinggan hidang yang berisi lauk pauk tersebut akan dimasukkan kedalam dulang secara "set". Dulang-dulang ini akan diangkat ke meja papan panjang bawah khemah oleh budak-budak remaja. Selalunya bagi satu dulang hidangan akan dinikmati oleh empat orang. 


Bagi khemah memasak pula  tiada hamparan papan atau meja sebaliknya akan didirikan beberapa tungku bertiang tiga besi ("konsep terbuka") bagi memasak nasi  minyak serta lauk-pauk. Bagi tempat menyediakan air, cuma meja papan panjang seperti meja papan di bawah khemah makan tadi akan didirikan tanpa khemah dan lebih pendek. Selalunya, bagi kerja-kerja membuat dan menghias pelamin akan dipertanggung-jawabkan kepada orang-orang perempuan dan budak-budak perempuan dewasa. Sekiranya ada orang lelaki terlibat, cuma menghantar papan atau memaku papan, selebihnya jika terlibat juga, pasti akan diketawakan, Aku memang tidak suka terlibat dengan kerja-kerja pelamin ini, Takut hilang "macho"! Selepas siap semuanya, orang-orang kampung akan dijamu dengan nasi putih berlaukkan gulai nangka, gulai labu, ikan masin dan sambal belacan yang telah disediakan oleh orang-orang perempuan, termasuklah emak. 

Jadi ini yang dimaksudkan meriah tadi. Itu baru persiapan seminggu sebelum majlis perkahwinan belum masuk  di hari perkahwinan. Bagi semua orang-orang kampung akan sentiasa bertanya kedudukan persiapan sebaik sahaja habis kerja-kerja "kayu bo akar" tersebut sehingga lah sehari sebelum majlis dilangsungkan dan mana yang sempat akan melawat rumah bakal pengantin dari hari ke hari selama seminggu itu. Konsep "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" sentiasa di praktikkan, tidak kira apa fahaman politik ketika itu...bendera kapal layar ke,bendera cawan dan piring ke, bendera cermin mata ke, bendera nuku ke dan macam-macam lagi bendera politik yang aku sendiri sudah tidak ingat. Mungkin hal itu kalian boleh rujuk kepada pakar sejarah atau arkib negara. Sekiranya tidak cukup beras, orang-orang kampung akan membantu dengan beras, kurang gula dibantu gula dan sebagainyalah. Begitu prihatin, begitu bersatu, begitu hormat menghormati, begitu bekerja-sama.

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi hon jiran depan rumah aku sekarang yang cuma melambai tangan waktu aku hendak pergi bekerja. Ketika itu juga aku lihat jiran sebelah rumah aku telah memasuki kereta dan terus memandu keluar pergi bekerja dan berpura-pura seolah-olah tidak menyedari aku berada di tepi pagar rumah aku. Jiran-jiran aku tidak sombong jauh sekali angkuh, tetapi kami jarang mengambil tahu tentang satu sama lain, kami jarang ziarah menziarah walaupun dipisahkan tembok yang tidak samapi satu kaki, kadang-kadang tidak bertemu selama beberapa minggu dan tidak keterlaluan jika dikatakan kami kadang-kadang hanya bertemu di kedai-kedai runcit atau makan yang mana kami akan bertegur sapa untuk beberapa saat. Jauhnya beza orang-orang Subang Bestari dengan orang-orang Bongek... Aku hendak balik Bongek lah...tapi bila "free" ya!

BAYU BERTIUP DAN BULUH PUN BERBUNYI!


"Poi kutip batu tu ah. Kutip yang kocik-kocik yo". Masih tergiang arahan arwah bapa kepada ku. Seperti kanak-kanak yang lain, sentiasa hendak tahu dan aku bertanya kepada arwah bapa, " nak buek apo Pak?". Arwah bapa menjawab, "masukkan dalam pot (tin) susu tu" sambil menunjuk ke arah selonggok pot-pot susu yang telah kosong dan selonggok batu kecil. Aku terus membuat seperti yang di suruh. Banyak juga pot-pot susu yang telah aku isi dengan batu-batu kecil. Kemudian arwah bapa menyuruh aku mengoncang pot susu itu lalu bertanya, "ado bunyi tak". Aku menjawab ringkas, "ado". Lalu ayah mengikat setiap satu pot-pot susu itu kepada tali yang panjang. Aku masih ingat, ketika itu musim padi telah mula mengeluarkan buahnya.

Kemudian arwah bapa mencacakkan buluh-buluh yang telah dipotong dalAm ukuran 8 kaki setiap satu di setiap penjuru petak sawah. Kemudian arwah bapa mengikat tali yang telah dipasang pot-pot berisi batu  tersebut dari satu buluh ke satu buluh yang telah dicacakkan. Akhir sekali tali penghujung tali tersebut diikat kepada pundung (pondok) yang didirikan  ditepi sawah dibawah pokok buluh. Orang Bongek menyebut pondok sebagai pundung. Tempat lain tidak tahu pula saya. Kemudian arwah ayah menyuruh aku menarik-narik tali yang diikat kepada pundung tersebut. Hasilnya pot-pot berisi batu yang tergantung kepada tali tersebut telah mengeluarkan bunyi di setiap petak sawah tersebut dan aku lihat beberapa ekor burung terbang lari dari dalam padi yang telah berbuah. Rupanya ini adalah salah satu teknik arwah bapa menghalau burung yang datang memakan padi yang ditanam selain dari mendirikan patung orang-orang ditengah-tengah sawah.

Kenangan ketika musim menanam padi sehingga musim menuai sentiasa menebal dalam fikiran ku sehingga ke hari ini. Ketika itu, jika hari cuti sekolah, pagi-pagi lagi aku sudah bangun , tidak sempat mandi atau cuci muka, aku telah berlari ke arah pundung di tepi sawah yang terletak lebih kurang 100 meter ke arah baruh (selatan) rumah aku. Tidak sabar-sabar lagi aku akan menarik tali yang yang bergantungan pot-pot susu berisi batu tadi dan tidak sabar-sabar lagi untuk melihat burung-burung terbang lari ketakutan. Beberapa ketika kemudian aku lihat emak datang membawa bakul yang diisi dengan mangkuk dan pinggan serta termos.  Takkan engkau orang tidak tahu apa itu termos! Dalam mangkuk itu sudah tentu ada sarapan pagi. Kadang-kadang kuih jemput cecah kuah masak lemak semalam atau gula, kadang-kadang ubi rebus atau pisang rebus, kadang-kadang nasi lemak atau pulut katan. Apa-apa pun jenis sarapan yang disediakan emak, mesti ada elemen kelapa. Kalau tidak santan kelapa, mesti ada kelapa parut hinggakan sambal tumis pun dimasak dengan santan. Dalam termos mesti ada air teh punya tetapi bukan teh susu lah. Susu ketika itu makanan orang-orang kaya sahaja. Mungkin kakak aku yang duduk Seremban itu mampulah agaknya.

Pulut katan apa? Pulut di atasnya ada kelapa parut kemudian diletak sambal tumis. Kalau hendak pulut katan itu nampak cantik, mula-mula masukkan kelapa parut dalam mangkuk atau cawan. Kemudian diisi pulut sehingga padat. Kemudian keluarkan dan diletak atas daun pisang. Sudah tentu lah ia akan berbentuk bulat mengikut bentuk mangkuk atau cawan tadi. Kemudian letak sambal tumis diatasnya. Kemudian bungkuslah macam bungkus nasi lemak. Sedap memang sedap. Nanti hendak suruh isteri aku buatlah!

Besarapan didalam pundung dipagi yang dingin dengan hembusan sang bayu sambil melihat sawah yang terbentang luas serta melihat kebukit dipenghujng sawah memang amat menyelerakan. Ketika itu aku rasa udara begitu segar, nyaman...ooh alangkah indahnya dunia ketika itu. Aku cukup suka bila dengar buluh itu berbunyi apabila berlaga diantara satu sama lain. Apa pun aku bukan keturunan bulu betong ok! Kadang-kadang ada juga jiran-jiran sawah sebelah datang seperti Teh Ani, Wan Jarah, Cik Isam, Uwan Busu, arwah makcik aku (Ayek) untuk bersarapan bersama dengan kami. Mereka-mereka ini walaupun telah tua, tetapi tetap gigih mengerjakan sawah. Begitu harmoni rasanya hidup di Kampung Bongek ketika itu. Memang aku dibesarkan disekeliling banyak kawan -kawan emak atau lebih tepat jiran-jiran kami yang sebaya dengan emak dan tidak hairanlah sehingga sekarang hati aku amat mudah tersentuh apabila melihat orang-orang tua, tidak kiralah bangsa apa pun. Bak kata perpatah tidak ada yang tua masakan ada yang muda, betul tak?

Kemudian seperti biasa setelah sarapan perut akan mula meragam. Apa lagi, aku pun duduk mencangkung  di atas batang kayu yang diletakkan menyeberang sungai kecil yang terdapat diantara pundung dan petak sawah. Sungai ini kecil dan cetek airnya separas betis sahaja tetapi airnya sangat jernih dan arusnya sederhana. Tidak payahlah aku gambarkan bagaimana aku menunaikan hajat dan kemana buangan itu jatuh kan? Yang pasti ikan-ikan didalam sungai itu akan berebut-rebut lah. Eih..aku kan masih kecil lagi masa itu, mana tahu erti malu. Alah, sekarang pun yang engkau orang duduk tepi kolam renang dengan "swimming trunk" dan "swimming suit" tidak malu pula? Sekurang-kurangnya... aku masih pakai baju, cuma yang sebelah bawah sahaja yang terbukak...he,he!

Setelah selesai menunaikan hajat, aku pun terus masuk ke dalam sungai tersebut untuk "mensucikan" diri.   Airnya begitu sejuk tetapi terasa sangat nyaman. Apa? Alah, buangan itu sudah dihanyutkan air lah. Air itu kan mengalir. Kemudian aku mula mengejar ikan-ikan kecil di sekeliling kaki aku. Kemudian ibu akan menjerit,"baik-baik wok! Jangan sontuh bonto tu. Kang kok tak suman dek gata." Bonto itu adalah sejenis rumput yang tumbuh ditepi-tepi sungai yang bersawah. Daunnya kalau tersetuh akan menyebabkan kegatalan kepada kulit, tetapi tidak lah terlalu bahaya. Selalunya kalau terkena gatal-gatal akibat tersentuh bonto, emak akan segera melumurkan lumpur sawah ditempat yang gatal tersebut. Hairan tetapi amat berkesan sekali.

Kemudian aku akan berlari diatas permatang untuk mendapatkan arwah ayah yang berada di tengah sawah kononnya untuk membantu membuang rumput-rumput yang tumbuh  bersekali dengan padi. Adakalanya aku tercabut dengan padi-padi sekali dan adakalanya aku akan mengakibatkan permatang yang baru dibuat oleh arwah bapa runtuh. Adakalnya kerana berlari terlalu laju, aku akan terjatuh tersembam kedalam sawah. Engkau orang percaya ke aku terjatuh. Sudah agak dah! Memang aku sengaja "terjatuh" ke dalam sawah itu. Kalau sudah jatuh, apa lagi, main lumpurlah. Cuma kesian arwah bapa kena betulkan permatang dan mencucuk semula padi yang aku cabut atau tercabut semasa aku jatuh. Apa pula nakal! Aku kan masih kecil semasa itu. Mana faham keadaan atau kesan yang telah aku lakukan. Bak kata emak aku,"tak paham bahaso botul budak seko ni'...he,he.

Kalau musim membajak, aku lagi ligat bermain lumpur. Dahulu kita orang membajak sawah guna kerbau. Masa itu, lintah memang banyak di dalam sawah. Kaki aku hari-hari kena gigit lintah, tetapi selamba sahaja aku tarik dan buang lintah itu. Yang paling aku ingat, aku selalu buang lintah yang melekat dibadan kerbau, kadang-kadang melekat di "tolo (scrotum) kobau" tersebut.  Aku akan ambil kayu dan menguis lintah tersebut. Kalau kena lintah yang sudah kenyang, senang sahaja tertangal, tetapi yang baru menghisap darah, bukan main liat lagi. Yang hairannya, kerbau-kerbau penarik itu tidak pula mengamuk, malahan memberi "kerjasama" dan membiarkan sahaja perbuatan aku. Agaknya, keharmonian ketika itu bukan sahaja sesama manusia tetapi keharmonian antara kerbau dan manusia juga amat terserlah. Kalau ada kawan-kawan anak kepada jiran-jiran aku, kenakalan kami lagi melampau. Siap tunggang kerbau lagi. Tak habis dengan kerbau, kami akan mandi "tenggair". Tenggair maksudnya anak sungai. Macam-macam aktiviti yang kami lakukan di tenggair tersebut. Memanah ikan, main sorok-sorok batu, lawan menyelam siapa lama, terjun dari batu ke dalam air dan yang paling sinonim, sorok baju kawan-kawan yang lain. Hendak lawan berenang tidak boleh sebab sungai itu cetek dan berbatu-batu.

Kalau engkau orang hendak tahu, di Kampung Bongek ada sungai air panas. Anak air yang panas mengelegak keluar dari bumi dan membentuk kolam air panas bersebelahan sungai. Airnya berbau seperti belerang, tetapi kata orang kampung baik untuk mereka yang menghidapi penyakit kulit. Kadang-kadang kita orang bawa telur, letak dalam jaring dan dan rendam dalam kolam air panas tersebut. Sudah masak, kita orang makan lah. Apa? Sedap tak? Rasa telurlah, cuma ada bau belerang sedikit. Kadang-kadang kita kepung ikan dan halau masuk dalam kolam air panas itu. Apa lagi "mengelintin" lah ikan-ikan tersebut untuk masuk semula ke dalam sungai biasa. Kalau tak, jadi arwah lah ikan-ikan itu. Kalau sudah jadi arwah, ikan-ikan tersebut tidak pula boleh di makan sebab badan ikan itu sudah berbau belerang. Kecuali engkau suka makan ikan berbau belerang!

Aku akui kawan-kawan aku lebih berani dari aku. Aku pula sememangnya jenis yang agak berhati-hati...penakutlah tu!. Binatang-binatang seperti katak, ular kecil dan burung sentiasa berdoa agar tidak bertembung dengan mereka-mereka ini. Kalau jumpa, habis mereka kerjakan, jadi "allayarham" lah binatang-binatang itu! Bab-bab ini aku penakut sedikit. Boleh meremang bulu roma, kegelian. Pasal itu aku sentiasa kena buli. Dia orang letak katak dalam baju akulah, dalam seluarlah. Kadang-kadang dia orang lempar bangkai ular kepada aku. Apa lagi, "berketuntang" lah aku menepis. Berketuntang? Maksudnya kelam kabut dalam keadaan panik. Tetapi aku tahu mereka hanya bergurau. Itulah, siapa suruh jadi penakut!

Apabila aku dewasa, tiba-tiba sawah-sawah di kampung aku tidak dikerjakan lagi dan mula terbiar. Kata orang kampung, sejak kerajaan membuat empangan air di sungai besar (sekarang sudah kecil) yang mengalir ditengah-tengah sawah-sawah kami, air berada di paras rendah dan tidak lagi masuk kedalam petak-petak sawah. Mungkin ada benarnya, tetapi bagi aku pula, generasi yang mengerjakan sawah sudah terlalu tua dan tidak sekuat dahulu. Anak-anak pula telah mula gigih dalam pelajaran atau mula meninggalkan kampung untuk bekerja dibandar. Jadi sawah telah menjadi sesuatu "heritage" dan bukan lagi cara hidup. Tiada siapa lagi ingin ke sawah. Kini kalau engkau orang lalu di kampung Bongek, selain dari kebun rambutan emak aku dan kolam ikan tinggal didepan Masjid Bongek itu, mana ada sawah lagi. Semuanya telah ditanam pokok kelapa sawit yang dipajakkan kepada FELCRA. Bagaimanapun setelah empat puluh tahun, rumpun buluh dimana arwah bapa mendirikan pundung masih lagi disana dan kadang-kadang aku selalu pergi ke sana seorang diri untuk mengimbau kenangan indah kehidupan kanak-kanak aku di kampung bertuah ini....KAMPUNG BONGEK!
Bayangan sawah yang tinggal hanya cuma dalam ingatan aku sahaja. Dimana batang kayu tempat aku mencangkung itu ya?

Sunday, October 17, 2010

SEDAPNYA BAU...ROTI CANAI, MINYAK KELAPA!

Aku terjaga apabila terbau roti canai yang di goreng oleh mak. Sedapnya bau. Tiba-tiba semangat kanak-kanak aku memuncak dan bingkas bangun untuk mendapatkan emak di dapur. Emak tersenyum memandang aku dan berkata, "Dah bangun yo? Wok omak tobau roti canai yo? Poi dogheh mandi, buleh makan samo-samo dongan Apak". Ketika itu aku rasa tiada senyuman sesiapa yang semanis senyuman emak. Memang aku sayang emak aku, lebih dari sesiapa pun di dunia ini. Cuma sekarang ini kasih sayang itu telah terbahagi sedikit kepada isteri dan anak-anak aku, tetapi emak tetap no. satu.

Engkau orang tahu macamana emak aku membuat roti canai. Semasa menguli tepung, emak akan meletak sedikit minyak sapi disamping majerin planta. Planta sahajalah yang aku tahu zaman itu. Mana ada jenama lain! Mungkin orang-orang kaya seperti salah seorang kakak aku yang tinggal di Seremban tahu lah jenama-jenama "butter" yang lain. Sebab itu semasa emak mengoreng roti canai tu, semerbak bau minyak sapi. Macamana emak aku menebar roti canai tersebut? Emak aku tidak lah pakar menebar seperti pembuat roti canai professional sekarang. Tepung yang diuli akan di kepal menjadi sebuku kecil sebesar penumbuk. Tepung yang telah dikepal akan ditepek satu persatu dengan minyak kelapa ditengah-tengah dulang besar. Kemudian emak akan menarik tepung canai tersebut sehingga ke tepi dulang sehingga nipis dan lebar. Kemudian emak akan melipat tepung canai tersebut ke bentuk empat segi. Kalau beliau terlebih rajin, emak akan melipat-lipat serta mengulung tepung canai tersebut kepada bentuk bulat seperti siput dan menepek semula menjadi saiz yang lebih besar dan nipis sebelum mengorengnya dengan beberapa titik minyak kelapa. Roti canai emak kurang berminyak, tidak seperti roti planta atau roti "bom", tetapi terasa sangat enak. Kadang-kadang emak buat roti canai telur siap dengan bawang dan lada lagi.

Selalunya emak akan hanya membuat roti canai sekiranya hari sebelumnya emak memasak, masak lemak cili api ayam atau daging. Lebihan kuah masak lemak tersebut akan dipanaskan sebelum tidur dan menjadi sedikit kering. (Kebiasaannya, masak lemak cili apai ayam atau daging akan dicampurkan dengan ubi kentang). Keesokkannya lebihan kuah dengan saki baki daging atau ayam serta kentang yang tinggal akan dipanaskan kembali dan dijadikan kuah roti canai. Apa pun, makan roti canai dengan kuah masak lemak cili api memang sedap. Masakan emak lah katakan! Sebenarnya ketika itu semua bahan masakan, kecuali tepung, garam, minyak sapi dan majerin, adalah dibuat sendiri. Misalnya, minyak kelapa. Kenapa saya menyebut minyak kelapa dan bukan minyak masak. 

Minyak kelapa kita orang dibuat sendiri tau. Gula pun buat sendiri tau. Tentang minyak kelapa, Arwah bapa akan mengait kelapa dari pokok-pokok yang banyak diseliling rumah kami dengan mengunakan "pongolan". Orang Bongek ini suka makan masak lemak cili api. Jadi kelapa merupakan pokok yang mesti atau perlu ditanam disetiap rumah. Kadang-kadang ada orang kampung yang membela beruk datang untuk mengambil upah memetik kelapa. Seronok  betul aku bila menengok beruk-beruk ini memetik kelapa. "Pongolan"? Pongolan itu maksudnya buluh panjang yang diikat dengan pencangkuk   guni beras dihujungnya yang digunakan untuk mengait kelapa atau lebih tepat dalam bahasa Kampung Bongek, "mengongkoh"! 

Kelapa ini akan dikupas, dibelah, dikukur (parut) dan kemudian di perah untuk mendapatkan santannya. Tidak tahulah kenapa orang Bongek menyebut dikukur, tidak diparut. Dahulu kala mana ada mesin kelapa. Semuanya dibuat secara manual. Bab-bab kukur kelapa ini aku suka juga, tetapi selalu kena marah dengan emak sebab lembab. Pengukur kelapa ini diperbuat dari kayu menyerupai bentuk badan binatang seperti kambing tetapi berkaki pendek, siap dengan lehernya menegak ke atas sekali. Dihujung leher tersebut akan dipasang batang besi yang mempunyai hujung kepala yang leper dan bergigi serta menjulur ke hadapan yang menyerupai bentuk cendawan kukur. Ianya dipanggil "kepala kukur".

Cendawan kukur? Cendawan kukur ini selalunya tumbuh di batang-batang pokok getah yang telah mati. Selalunya ianya dimasak lemak cili api bersekali dengan nangka muda, pisang muda, terung, belimbing buluh dan lain-lain sayuran kampung. Jika dimasak pedas-pedas dan lemak, memang sedap. Kena pula denagn ikan puyu goreng mersik (garing). Buat pekat-pekat, jangan jalang. Ha,ha,.. jalang itu kalau maksud orang Bongek, cair bukan sundal tahu!

Oops, terkeluar tajuk pula. Kemudian kita akan mencangkung duduk diatas badan kukur kelapa tersebut seolah-olah menunggang binatang. Kedua belah tangan memegang dibahagian tempurung kelapa yang telah dibelah dua, menekap isi kelapa kepada kepala kukur dan mengerakkannya ke atas dan kebawah untuk memarut isi kelapa dengan kepala kukur tersebut. Harus berhati-hati kerana kepala kukur yang leper bergigi itu sedikit tajam tetapi tidak lah terlalu merbahaya. Bagi yang sudah pakar, selalunya mereka gunakan sebelah tangan sahaja. Nantilah, kalau aku rajin, aku akan lukis rekabentuk kukur kelapa itu ya! Susah hendak jumpa kukur kelapa pada zaman moden ini.

Bab memerah santan pun aku suka juga, boleh bermain dengan isi kelapa yang sudah diparut itu. Kemudian bagi makan itik atau ayam, campur dengan kerak nasi. Kenyang ayam dan itik dekat rumah aku. Aku suka apabila banyak ayam dan itik berebut-rebut makanan disekeliling aku. Macam "zookeeper" rasanya..he,he! Seterusnya santan yang terkumpul akan dimasak di dalam kuali besar sehingga keluar minyak. Kemudian minyak tersebut akan ditapis dan lebihan santan akan berketul berwarna cokelat kehitam-hitaman dan berbau sangat wangi. Ianya lebih dikenali sebagai tahi minyak. Ianya selalu disimpan untuk dijadikan bahan untuk memasak pajeri nenas atau pajeri terung bersama udang kering dan macam-macam lagilah. Tetapi aku selalu makan tahi minyak itu macam itu sahaja. Lemak sekali rasanya.

Kadang-kadang emak akan membuat kaya dari santan tersebut yang dimasak bersama telur, gula dan daun pandan. Emak aku punya kaya, memang sedap. Lemak dan kurang manis. makan pula dengan roti "paun" dan majerin planta. Engkau orang tahu apa roti paun? Paun itu dalam ertikata lain bermaksud "pound". Ianya dinamakan roti paun sebab sebuku roti tersebut selalunya seberat satu pound, sebab ianya besar. Ini pengaruh British lah tu. Roti paun ni selalunya dibeli dikedai kopi Cina yang dibuat sendiri oleh pengusaha kedai kopi tersebut dan telah siap dibuang kerak disekelilingnya dan dipotong-potong menjadi kepingan-kepinagn nipis. Lebih kurang roti Gardenia dan High5 lah! Bezanya, roti paun itu hanya akan dipotong diwaktu kita membelinya dan lebih besar dan tebal dari roti sekarang. Ianya selalu dibungkus dalam kertas surat-khabar dan bukan dalam plastik. Mungkin keadaan sekarang di Kopitiam Cina telah berubah. Lebih menitik-beratkan aspek-aspek kebersihan. Ia ke bersih?

Kembali bercerita pasal roti canai, kalau zaman dahulu, selain menikmati roti canai yang dibuat oleh emak, roti canai hanya akan didapati di kedai mamak. Roti canai mamak ini sedap juga, tetapi yang uniknya pasal kedai mamak ini adalah bagaimana mereka membungkus kuah roti canai atau teh. Sudah tentulah roti canai akan dibungkus dengan surat khabar, tetapi kuahnya atau teh atau kopi akan dimasukkan ke dalam bekas tin susu dan ianya boleh dijinjing atau disangkutkan di "handle" basikal. Tetapi itu dulu lah. Sekarang semua dah pakai plastik.

Kalau di kedai kopi Cina, aku suka beli kuih pau kacang. Aku ingat lagi, kedai Kopi Wong di pekan Chengkau. Chengkau ini merupakan pekan kecil lebih kurang 1 batu dari rumah aku. Teh dan kopi susu yang dijual oleh Wong memang sedap. Sebabnya cuma satu, beliau pakai air dari perigi di belakang kedainya itu yang dijerang mengunakan kayu api. Kuih pau dia pula dua kali ganda dari kuih pau yang ada sekarang. Sehingga aku remaja aku suka pergi minum teh di kedai Wong. Lagi pun dia peramah dan selalu layan aku cakap bahasa Inggeris. Walaupun aku mengunakan bahasa Inggeris pasar, tetapi sekurang-kurangnya aku sudah mula berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan sedikit sebanyak membantu aku ketika di universiti. Sampai sekarang di rumah aku masih pakai meja kayu bulat dan permukaan batu marble seperti yang ada di kedai Wong. Kini pekan Chengkau sudah berwajah baru apabila hampir kesemua kedai-kedai di situ dijilat api dalam satu kebakaran besar lebih kurang 25 tahun dahulu. Kedai Wong pun sudah tiada. Khabarnya beliau telah berhijrah ke Singapura dan mungkin masih belum berkahwin seperti dahulu.

Aku ingat, hari ini hendak suruh isteri aku masak lemak cili api ayam dengan kentang dan besok hendak beli roti canai. Kemudian hendak panaskan roti canai mengunakan minyak sapi. Kemudian hendak bancuh teh susu dalam tin susu dan minum dari tin susu tersebut...tetapi adakah sama seperti dahulu? Tapi dimana pula hendak cari cendawan kukur dan belimbing buluh di Subang Bestari ini? Tahi minyak...? Arrrrgh...aku mengeluh seorang. Aku masih lagi budak BONGEK rupanya....bila hendak balik ya?


Saturday, October 16, 2010

KATAK BAWAH TEMPURUNG

"Wok! Bangun wok. Pergi mandi. Nak ikut tak? Pergi hantar orang naik Haji!". Begitu lah bunyi suara emak mengejutkan aku pada suatu pagi yang dingin. Wok itu apa? Kacaulah engkau orang ini. Baru hendak mula mengimbau kenangan lama. Sebenarnya "wok" itu adalah panggilan manja bagi setiap ibu atau nenek memanggil anak atau cucu mereka di Kampung Bongek. Tempat lain di Rembau, tidak tahu lah. Mungkin sama agaknya. 

Kembali kepada suara emak mengejutkan aku tidur tadi, ketika itu baru aku tahu kenapa emak sibuk membuat rendang pucuk ubi petang semalam. Pagi semalam saya lihat emak sibuk pergi mengutip pucuk ubi kayu dan cili padi disekeliling rumah. Sebelah tengahari saya lihat arwah ayah sibuk mengupas kelapa dengan jumlah yang agak banyak. Kemudian saya lihat arwah ayah sibuk mengangkut berpuluh-puluh kayu api menghampiri tunku memasak di dapur. Engkau orang tahu apa tunku dan apa kayu api?

Sebenarnya pada zaman aku kecil, mana ada dapur gas. Jadi untuk memasak kenalah pakai kayu api. Kayu api ini merupakan dahan atau batang pokok-pokok yang telah mati atau ditebang. Tidak kira lah batang pokok rambutan, durian, mangga atau pokok getah, asalkan pokok yang telah mati. Kadang-kadang dahan pokok yang serkah dan jatuh ke tanah juga akan diambil. Bagaimana pun selalunya batang dan dahan pokok getah lah yang menjadi pilihan utama. Batang dan dahan pokok tersebut akan di potong-potong kepada saiz lebih kurang 2 kaki dan dibiarkan kering. Batang pokok yang telah dipotong tersebut kemudian akan dibelah kepada saiz yang lebih kecil mengunakan kapak atau parang, supaya senang untuk dimasukkan ke dalam tunku disamping mudah untuk menyalakan api.

Tunku pula selalunya di buat dari tanah liat yang dibuat seperti bentuk ketuhar empat segi dengan lubang kecil di sebelah atas dengan bahagian hadapan terbuka. Ianya akan diletakkan di atas meja yang dibuat dari kayu dan dilapik tanah liat disebelah atasnya. Tujuannya supaya sesiapa sahaja yang memasak tidak perlu mencangkung atau membongkok ketika memasak. Kemudian kepingan zink yang dipotong akan dimasukkan ke dalam ketuhar tersebut dan di atas zink tersebut akan di tabur pasir atau tanah. Ianya adalah sebagai pelapik di antara ketuhar dan lapisan tanah liat meja tersebut bagi tujuan mengelak meja tersebut dari terbakar. Kuali atau periuk akan ditenggekkan di atas ketuhar tersebut di mana bahagian bontot kuali atau periuk betul-betul berada di bahagian lubang atas ketuhar tersebut. Kemudian kayu api akan dimasukkan ke dalam ketuhar dari sebelah depan yang terbuka dan proses penyalaan api akan dimulakan. Proses nyalaan api akan dimulakan dengan bakaran sabut atau kertas dan kayu-kayu api yang lebih kecil akan dimasukkan dahulu. Setelah kayu di makan api dan berbara, barulah dimasukkan kayu api yang lebih besar. Selalunya bergantung kepada jenis masakan yang ingin dimasak. Untuk memastikan api sentiasa menyala sepanjang tempoh yang diperlukan, kayu api akan sentiasa di tambah dan buluh kecil sepanjang satu kaki akan digunakan untuk meniup atau menghembus ke dalam kayu api yang sedang berbara untuk menyemarakkan nyalaan api. Bagi mengurangkan nyalaan api, kayu api dan bara akan di tarik keluar dari ketuhar tersebut.

Aku bertanya kepada emak, "kita hendak hantar siapa pergi Mekah mak. Dia pergi Mekah naik apa?". Emak menjawab, "Mak Long emak. Dia naik Haji menumpang kapal laut". Aku cuma menganguk, walau pun aku tidak tahu siapa Mak Long yang dimaksudkan dan kemana sebenarnya tujuan kami pada pagi yang dingin ini. Ketika itu, arwah bapa telah membeli kereta, kalau tak silap aku "Austin Morris" jenama kereta tersebut. Warna biru muda dan berbelang putih ditengah. Warna itu begitu sinonim pada zaman 60an. 

Aku lihat arwah ayah sibuk mengangkut mangkuk tingkat yang dipenuhi dengan nasi dan redang pucuk ubi, telur asin, gulai nangka, goreng ikan masin dan sambal tumis petai ke dalam "boot" kereta. Ketika itu arwah makcik aku pun turut serta bersama dengan kakak aku yang tua dua tahun dari aku. Selepas sarapan ringkas kami memulakan perjalanan. Lalu aku bertanya kepada arwah bapa, "kita hendak pergi mana ini Apak?". Arwah bapa menjawab ringkas, "Kelang!. Sudah duduk diam-diam." Aku akur walaupun aku ingin terus bertanya, di manakah Kelang itu. Kemudiannya aku tertidur kerana masih awal pagi dan disepanjang jalan hanya aku lihat barisan pokok-pokok getah. 

Aku terjaga bila bila emak menyebut, "sudah sampai. Bangun wok!". Aku lihat hari sudah terang dan kami berada di sebuah pelabuhan. Dari tempat arwah bapa meletakkan kereta, aku terpandang sebuah kapal besar berlabuh. Aku begitu kagum melihat kapal tersebut. Seingat aku kapal tersebut berwarna hitam, putih dan sedikit garisan merah. Ianya amat besar sekali. Arwah bapa terus memimpin kami berjalan ke arah sekumpulan jemaah haji yang berkumpul di tepi tangga untuk menaiki kapal tersebut. Sememangnya begitu ramai saudara-saudara jemaah haji yang turut serta di tepi pelabuhan untuk menghantar saudara-mara mereka untuk pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji. Aku lihat, abang-abang aku juga berada di sana. Aku pasti orang yang akan pergi ke Mekah ini adalah saudara mara kami, tetapi sehingga hari ini aku tidak ingat siapa sebenarnya Mak Long ini. Cuma aku lihat dia dan suaminya begitu bersemangat disebalik wajah mereka yang ku lihat sudah begitu tua. 

Selepas Mak Long dan suaminya selamat menaiki kapal, kami semua menuju balik ke kereta dan turut di sertai oleh abang-abang aku serta beberapa saudara mara yang lain. Arwah ayah mencari tempat yang sesuai di kawasan lapang tidak jauh dari kereta tersebut dan membentang tikar mengkuang dan emak membuka bekalan yang dibawa. Rupa-rupanya kami akan makan bersama-sama dan aku dapati walau tidak beberapa selesa tetapi makanan emak aku terasa begitu lazat sekali. Apa yang pasti aku makan dengan begitu berselera sekali.

Sememangnya aku tidak tahu di manakah pelabuhan tersebut, cuma aku pasti ianya berada di Kelang. Setelah beberapa tahun bersekolah baru aku tahu bahawa Kelang itu merupakan bandar pelabuhan yang terletak di Selangor dan sehingga kini aku tidak tahu apa nama pelabuhan itu yang sebenarnya ketika itu... Port Sweethenham atau Port Klang! Selepas itu aku tidak pernah lagi pergi ke pelabuhan tersebut kerana tiada lagi jemaah haji yang pergi ke Mekah dengan menaiki kapal laut, sebaliknya telah mula menaiki kapal terbang dengan terbinanya Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Dan kini aku sendiri tinggal di Selangor dan amat berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang telah di tukar namanya menjadi SkyPark Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Di mana sebenarnya arwah bapa aku meletak keretanya dan dimana sebenarnya kami menikmati hidangan makanan di pagi itu? Sampai sekarang aku tertanya-tanya. Ini kerana Kelang telah begitu membangun dan terdapat berbagai pelabuhan di sana. Siapa Mak Long?

Friday, October 15, 2010

BONGEK - SUATU KETIKA DAHULU.

Mengimbau zaman kanak-kanak aku sebagai anak jati Kampung Bongek, kadangkala aku tersenyum sendiri. Mungkin zaman kanak-kanak aku sama dengan zaman kanak-kanak lain yang berasal dari kampung, tetapi aku berani jamin ianya tidak sama langsung dengan zaman kanak-kanak yang tinggal di bandar. Kehidupan di kampung begitu bebas, sentiasa gembira dan amat menyeronokkan. Walaupun rata-rata kami tidak tahu erti kemewahan, tetapi kami hidup bertunjangkan muafakat dan sentiasa tolong-menolong dan bekerja-sama di antara semua penduduk kampung disamping hormat menghormati. Ketika itu kami tidak kenal komputer, Internet, PSP, Facebook atau apa-apa yang seumpamanya. Kalau adapun radio kecil pakai bateri. Telivisyen...tidak usah mimpi.

Kenapa? Ketika itu mana ada bekalan eletrik. Malam kami hanya diterangi cahaya lampu gasoline dan pelita. Bagi rumah-rumah yang ada lampu gasoline, itu sudah dikira golongan berada. Bagi yang tak mampu, pelita sajalah yang menerangi rumah mereka ketika waktu malam. Aku masih ingat apabila waktu hampir senja, arwah bapa aku atau arwah abang aku akan mula mengisi minyak tanah ke dalam lampu gasoline. Selepas itu, sedikit spirit akan di masuk ke dalam bekas kecil yang terdapat di bahagian dalam balang kaca lampu gasoline tersebut bagi membakar mentol lampu tersebut yang diperbuat dari kain. Sampai ke hari ini aku tidak tahu apa material yang digunakan untuk membuat mentol tersebut. Cuma yang pasti ketika itu, aku sangat suka mengepam lampu gasoline tersebut. Aku boleh merajuk sekiranya arwah bapa atau arwah abang aku tidak membenarkan aku untuk mengepam lampu gasoline tersebut. Apabila lampu gasoline tersebut telah menyala, ianya akan mula-mula di letakkan di ruangan makan. Selepas semua habis makan, lampu tersebut akan dialihkan ke ruangan tamu. Di situ lah kami membaca dan sebagainya sementara menunggu selesai solat isya'. 

Selalunya, pukul 9.00 malam sudah terasa begitu sunyi dan secara rutinnya mata kami akan merasa mengantuk. Ini di tambah lagi dengan bunyi cengkerik dan kedinginan malam. Kedinginan malam ketika itu memang betul-betul dingin. Tidak perlu ke Cameron Highland. Selalunya sebelum tidur aku akan merenggek meminta abang-abang atau kakak-kakak aku yang ada di rumah ketika itu untuk menemani aku ke tandas atau lebih tepat lagi jamban. Dahulu tidak ada 'toilet' di dalam rumah seperti sekarang. Jamban akan dibina di luar dan jauh dari kawasan rumah. Maklumlah mana ada sistem penyaliran kumbahan 'Indah Water' seperti sekarang ini. 

Satu lubang yang dalam berkeluasan 10 kaki lebar, 10 kaki panjang dan 10 kaki dalam akan digali dan jamban akan diletakkan di tepi lubang tersebut dan lubang itu akan ditutup dengan dahan pokok. Bagi keluarga berada akan diletakkan zink atau papan di atas lubang tersebut. Kemudian akan diletakkan daun-daun pisang dan daun-daun lain dibahagian atas sekali. Jadi semua kumbahan serta air kumbahan akan mengalir masuk kedalam lubang tersebut. Kanak-kanak dilarang sama sekali bermain di belakang jamban tersebut. Kalau terjatuh, mungkin kita dapat mengagak apa akan terjadi..he,he. Mungkin seperigi air yang diperlukan untuk "mensucikan" kanak-kanak yang jatuh tersebut. Maklumlah zaman itu mana ada sabun wangi atau lebih dikenali sebagai sabun "LUX". Yang ada cuma sabun cap kapak yang digunakan untuk membasuh baju dan untuk mandi. Kalau engkau orang tahu apa itu sabun cap kapak...mungkin engkau orang tahu bahawa sabun itu hanya membersihkan kotoran, tetapi tidak berbau wangi. Ia datang dengan sebuku panjang sama ada berwarna hijau keruh atau kuning keruh dan perlu dipotong kecil untuk kegunaan dari masa ke semasa.

Kemudian dinding akan dinaikkan disekeliling jamban tersebut. Kebanyakkan siap dengan atap, tetapi bagi yang tidak beratap, faham-faham sahajalah kalau hari hujan dan perut pula meragam. Jawabnya terpaksalah berpayung. Payung ketika itu diperbuat dari kertas dan selalunya selepas beberapa minggu akan mula berlubang. Ada orang panggil payung Jepun, ada orang panggil payung Cina, entah mana satu betul. Entah-entah payung Siam. Jadi kalau hujan lebat, tak membantu lansung. Aku selalunya lebih suka menggunakan terendak yang di perbuat dari mengkuang. Emak atau arwah nenek aku buat sendiri. kadang-kadang aku guna tudung saji mengkuang saja. Lepas itu, teruk aku kena hamun oleh emak aku yang tercinta.

Air untuk cebok (mencuci atau beristinja')? Mana ada bekalan air paip ketika itu. Sebab itu dalam jamban ada baldi ayan. Kalau tidak pun, bekas tin biskut atau bekas tin minyak tanah yang telah dibuang atasnya untuk menakung air. Di luar rumah selalunya ada tempayan besar untuk menadah air hujan. Jika tiada air hujan, maka terpaksalah mengangkut air dari perigi dan perlu dipastikan tempayan itu sentiasa penuh. Selalunya arwah bapa aku atau abang-abang aku lah kena mengangkut air itu. Habis aku? Eih! Aku bukan kah masih kecil pada masa itu. Jadi manalah kuat untuk buat kerja-kerja orang dewasa..he,he!

Jadi kau orang fahamlah kenapa aku sentiasa minta ditemankan untuk ke jamban pada waktu malam. Gila kau, aku nak pergi seorang! Sudahlah malam, gelap dan ditambah bermacam-macam bunyi. Hendak-hendak ada bunyi burung jempok (burung hantu lah), tak berdiri bulu roma. Dah tu kena bawa pelita pula tu. Kalau di tiup angin dan terpadam...ha, macamana. Lintang pukang lari. Kalau lari terus ke rumah tidak apa juga, tetapi jika belari ke belakang jamban, amacam? Tak seperigi air diperlukan untuk "mensucikan" aku? Cubalah kau orang hidup zaman itu, aku rasa dah tentu engkau orang akan tahan kecing atau berak kalau tidak ada orang hendak temankan engkau orang. Silap-silap terkencing atau terberak masa tidur. He,he...engkau orang rasa aku pernah mengalami terkencing atau terberak ketika tidur tak. "What do you think?"....Engkau orang fikirlah sendiri!

Lagi satu apabila bangun tidur. Hidung mesti berjeragat dan tahi hidung mesti hitam. Hendak tahu kenapa? Sebab asap dari pelita minyak tanah itulah. Asapnya memang berkepul-kepul hitam. Berbau hangit pula tu. Tapi ketika itu, "alah bisa tegal biasa". Kata lainnya, sudah biasa, sudah tidak kisah lagi.

Apa pun, masa makan, kami sekeluarga akan makan bersama. Engkau orang tahu kenapa? Sebab masa itu institusi kekeluargaan sangat utuh. Ini diterapkan oleh  arwah bapa. Selepas melalui keperitan dan kegetiran zaman Jepun dan kemudian zaman Bintang Tiga, arwah bapa aku sangat pentingkan keluarganya. Mungkin aku tidak merasa zaman Jepun atau zaman Bintang Tiga itu, tetapi aku masih dapat merasakannya melalui penghayatan sejarah. Engkau orang tahu, arwah bapa aku boleh cakap Jepun dan faham tulisan Jepun. Malahan dia ada meninggalkan beberapa keping duit Jepun (duit cap daun pisang) dan sehingga kini masih  dalam simpanan aku. 

Selain itu, ketika aku kecil makanan tidak semewah masa kini. Lauk ayam hanya sekali sebulan. Lauk daging hanya akan dinikmati ketika hari raya aidil fitri atau aidil adha, jika ada majlis perkahwinan atau ada orang-orang kampung yang memberi sedekah daging mentah. Kalau masak gulai daging, emak aku akan letak nangka muda banyak-banyak dalam bilangan ratio 70% nangka dan 30% daging. Ketika itu duit memang besar nilainya, tetapi barangan amat berkurangan. Berbanding sekarang, duit amat kecil nilainya, tapi barangan amat banyak di pasaran. Jadi, adalah menjadi rutin harian kita orang pada masa itu akan makan gulai-gulai yang diperbuat dari sayur-sayuran kampung. Gulai nangka, gulai rebung, gulai pucuk lapu, gulai cemperai, gulai cendawan, gulai pucuk paku, rebus bayam, lawa terung, lawa bacang, lawa kuinin dan apa sahaja sayuran kampung yang terdapat di sekeliling rumah sambil berulamkan petai, jering atau kerdas dan sambal tempoyak. Yang pasti, hampir kesemua dimasak lemak cili api dengan santan kelapa yang banyak. Pedas dan berlemak. Sebab itulah kita orang sampai sekarang sudah jadi ketagih dengan masak lemak cili api. 

Engkau orang tahu ke lawa terung, lawa bacang atau lawa kuinin itu apa? Ianya sejenis makanan ringkas yang tidak dimasak. Bawang kecil akan ditumbuk bersama udang kering. Kemudian digaul bersama bacang atau kuinin masak yang telah dihiris halus. Dan sekiranya mengunakan terung, terung tersebut dibakar dahulu. Kemudian dimasukkan santan pekat dan di tabur sedikit lada hitam serta garam secukup rasa. 

Bab beras pula, ianya datang dari sawah yang diusahakan oleh emak dan arwah bapa. Sekali musim menuai, hasilnya cukup untuk dimakan setahun. Selalunya padi yang telah dituai dan masih bertangkai akan disimpan didalam kepok (setor padi) yang merupakan seperti rumah kecil. Apabila perlu, emak akan mengeluarkan padi tersebut untuk proses meleraikan dari tangkai. Emak akan membentang tikar mengkuang (yang dianyam sendiri oleh emak atau arwah nenek) dan meletakkan padi tersebut di atas tikar. Kemudian emak akan memijak-mijak padi tersebut untuk meleraikannya dari tangkai. Aku amat menyukai proses ini dan sentiasa menawarkan diri untuk melaksanakan tugasan tersebut. Aku seolah-olah menari sambil memijak-mijak padi-padi bertangkai tersebut. Ketika itu aku rasa seolah-olah berada di dalam alam aku sendiri sambil membayangkan aku sebagai burung terbang bebas di angkasa. Pernah tak engkau orang tengok kaum "Red Indian America" melakukan rain dance. Macam itu lah gelagat aku. Nasib baik tidak disertai dengan menghisap paip panjang tu. Syyssss.....hisap rokok pucuk (daun) arwah makcik aku adalah. Kadang siap taruk tembakau lagi. Alah, main-main sajalah. Budak lagi masa itu, manalah kita tahu rokok itu merbahaya!

Selepas padi tersebut dileraikan dari tangkai, emak akan mengumpulkan padi-padi tersebut dan dimasukkan ke dalam bakul mengkuang yang dianyam sendiri oleh emak atau arwah nenek. Kemudian emak atau arwah nenek akan menampi padi-padi tersebut mengunakan nyiru bagi mengasingkan padi yang kosong (sekam) dan padi-padi yang berisi. Nyiru apa? Alah engkau orang ni. Nyiru itu diperbuat dari buluh yang diracik (di larik) nipis dan selebar satu inci setiap bilah yang kemudiannya dianyam sehingga menjadi seperti dulang besar. Selalunya dalam bentuk bulat atau tiga segi. Anyaman itu kemudian akan diikat dengan rotan dalam ukuran diameter satu inci disekeliling nyiru tersebut. Ianya memang kelihatan seperti dulang dan hanya sesuai untuk tujuan menampi sahaja dan bukan untuk mengangkat cawan-cawan atau pinggan-pinggan. 

Kemudian padi-padi yang berisi akan di jemur atas tikar mengkuang di halaman rumah. Ini merupakan proses untuk mengeringkan sekam padi dan melonggarkan cengkaman sekam padi ke atas isi padi (beras lah tu). Sekali lagi padi tersebut akan di tampi. Kemudian, seminggu sekali akan datang mesin padi bergerak (milik Koperasi Persatuan Pertanian Kampung Batu, Rembau yang dibiayai Kerajaan) ke kampung kami. Padi-padi orang kampung akan diperoses (pengasingan sekam dan beras) mengunakan mesin padi bergerak tersebut untuk dijadikan beras dengan bayaran yang sangat minimum. Jika tidak silap ketika itu beberapa sen sahaja untuk beberapa kati. Paling banyak aku tengok emak aku bayar dalam 50sen sahaja untuk setengah guni (bekas tepung gandum) beras yang telah diproses. Bagi keperluan segera, selalunya kami akan menumbuk sendiri padi tersebut mengunakkan lesung tangan atau lesung kaki.

Aku amat menanti-nantikan musim menuai. Hendak tahu kenapa? Sebab dapat buat emping beras. Apa? Macamana? Emping beras itu dalam bahasa Inggeris disebut "rice flake". Adik-beradik "corn flake" lah. Selalunya apabila padi telah mula berisi dan menunggu untuk masak sepenuhnya, orang-orang kampung akan menuai sedikit padi muda tersebut. Ini merupakan permulaan pesta menuai untuk orang-orang kampung aku. Padi muda yang dituai akan dileraikan dari tangkai kemudian direndam. Kemudian padi basah tersebut akan di goreng tanpa minyak di dalam kuali panas yang diletakkan bersebelahan dengan lesung kaki. Apabila padi tersebut sudah sedikit meletup menjadi bertih, ia akan dimasukkan dengan segera kedalam lesung untuk di tumbuk. Aku amat menyukai bunyi padi itu meletup menjadi bertih. Macam bunyi mercun pop-pop...tap,tap,tap. Apabila padi goreng tersebut di tumbuk didalam lesung, ianya kemudian akan meleper menjadi emping (flake). Kemudian ianya akan ditampi di dalam nyiru bagi mengasingkan emping dan sekam padi. Hasilnya dapat lah emping padi.

Kenapa aku suka? Sebab, dirumah aku di antara rumah-rumah dikampung Bongek yang ada lesung tumbuk padi mengunakan kaki. Jadi banyak orang kampung akan datang rumah aku untuk mengemping dan selalunya ianya di lakukan pada waktu malam. Jadi rumah aku jadi macam pestalah malam itu dengan kunjungan jiran-jiran untuk mengemping. Aku pula suka menginjak lesung tersebut untuk menumbuk padi dalam proses mengemping tersebut. Berat lesung itu, jangan main-main. Kalau orang perempuan, selalunya dua atau tiga orang yang menginjak lesung tersebut dengan kaki. Kalau orang lelaki, seorang pun boleh, tapi kena gilir-gilir lah. Ketika kecil aku tumpang semangkuk menginjak, tetapi bila telah remaja, selalunya aku seorang sahaja. Mungkin sebab itu, apabila remaja aku berkebolehan bermain bola. Mungkin berkat menginjak padi dan menggunakan lesung tersebut. Betul! Aku dulu memang main bola. Siap mewakili Negeri Sembilan lagi. Tidak percaya? Engkau orang tanya lah kawan-kawan sekolah menengah aku. Malas lah hendak cerita.

Balik cerita emping. Apa dia? Macamana untuk makan emping tersebut? Emping tersebut akan digaul dengan kelapa parut dan dicampur dengan sedikit gula melaka atau gula pasir. Bagi orang-orang tua, mereka akan memasukkan sedikit air panas untuk melembutkan emping tersebut. Malangnya, sampai ke tangan aku, sedikit modifikasi telah aku lakukan. Selepas digaul dengan kelapa parut, aku akan memasukkan sedikit air panas lalu aku letak susu manis dan kadangkala sedikit serbuk milo. Orang-orang tua yang datang mengempingkan di rumah aku akan mentertawakan  aku. Kata mereka, "bertuah punya budak. Ada ke makan emping dengan susu dan milo!" Dengan selamba aku menjawab, "Achik oi...ini kan zaman moden. Tak lama lagi orang akan makan emping macam ini lah." Sesungguhnya ketika itu aku tidak tahu apa yang aku katakan, tetapi diimbau kembali, memang budak-budak sekarang makan emping mengunakan susu atau susu berperisa coklat. Malangnya bukan emping beras, sebaliknya emping jagung (corn flake) atau sesuatu yang sewaktu dengannya seperti coco crunch, honey star atau quaker oats. Siap letak strawberi dan anggur lagi. Jadi tidak salah rasanya kata-kata aku kepada makcik-makcik jiran aku dahulu, kan?

Musim selepas menuai lagi menyeronokkan. Ianya semacam pesta di malam hari di seluruh sawah padi di Kampung Bongek dengan seluruh kawasan sawah diterangi pelita dan orang ramai bergerak diseluruh pelusuk kawasan sawah tersebut. Sungguh bising dengan hiruk pikuk dan ketawa orang kampung diwaktu malam selepas waktu maghrib. Buat apa? Hendak tahu kami buat apa? Betul ni? Jeng, jeng, jeng....kami tangkap belalang. Selalunya belalang banyak hinggap di batang padi yang ditinggalkan selepas musim menuai. Hendak tangkap siang tidak boleh sebab belalang itu tangkas melompat sekiranya dihampiri. Jadi waktu terbaik adalah di sebelah malam. Kami akan mengikat botol kosong dipinggang. Batang padi yang dipotong pendek akan dibengkokkan diikat dimuncung botol tersebut bagi mengelakkan belalang yang diisi kedalam botol itu merangkak keluar. Sebelah tangan akan memegang pelita dan sebelah tangan lagi akan menangkap belalang yang melekap di batang padi. Senang sahaja. Badan belalang akan membalikan sinaran cahaya pelita dan apa lagi tangkaplah dan masukkan kedalam botol. Sekitar jam 10 malam selesailah operasi penangkapan tersebut.

Buat apa dengan belalang tersebut? Mula-mula rendam dalam air. Dan cabut kepaknya dan kaki halusnya. Kemudian cuci bersih-bersih, kemudian dimasak rendang bersama dengan pucuk ubi. Jadi ikan bilis dalam pucuk ubi akan diganti dengan belalang. Kadang-kadang gaul dengan kunyit dan garam, kemudian goreng macam goreng ikan bilis. Ratah. Rendang pucuk ubi belalang dimakan dengan nasi panas, memang sedap. Manis belalang, pedas dan lemak rendang memang membangkitkan selera. Lagi ranggup dari ikan bilis. Itulah, engkau orang tidak tahu nikmatnya. Ah...jangan hendak mengada-ada kutuk kita orang, ok!

Sekarang balik balik pasal cerita makan  dengan keluarga aku. Aku mempunyai pengalaman manis dan lucu ketika makan bersama keluarga dahulu. Kesempitan hidup, menjadikan emak aku begitu berjaga-jaga dan membahagikan lauk sama rata kepada semua anak-anaknya. Ini berlaku setiap kali kalau emak memasak ayam atau daging. Ianya akan dipotong kecil-kecil dan setiap anak-anaknya akan dibenarkan untuk mengambil sepotong daging sahaja. Tiada siapa dibenarkan mengambil lauk sendiri ke dalam pinggan. Semuanya akan dilakukan oleh emak sendiri secara mutlak. Apabila lauk sudah terhidang dan nasi telah disenduk ke dalam pinggan dan emak masih sibuk di dapur, salah seorang dari kakak atau abang aku dengan pantas akan mengali lubang di tengah-tengah nasi dalam pinggan aku dan memasukkan sepotong daging ke dalam lubang tersebut dan dengan segera menutupnya dengan nasi. Ia seolah-olah macam sepinggan nasi putih, sedangkan telah tersembunyi sepotong daging dibawah nasi tersebut. Jadi apabila emak aku membahagikan lauk kepada semua anak-anaknya, sudah tentu lah aku akan mendapat dua potong daging.  

Ketika itu aku beranggapan bahawa emak tidak tahu langsung apa yang berlaku dan ianya mungkin menjadi kenangan lucu bagi aku, abang-abang dan kakak-kakak aku. Apabila telah dewasa aku mula berfikir bahawa, emak aku bukanlah sebodoh itu, sebaliknya beliau berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Bukan lah maksud emak aku yang tercinta untuk mencatu makanan, sebaliknya, kesempitan hidup yang memaksa beliau mengambil tindakan tersebut. Mungkin ketika itu jauh di sudut hatinya, emak menangis kerana tidak dapat memberi kesempurnaan kepada semua anak-anaknya dan mungkin ketika itu emak amat berbangga kepada abang-abang dan kakak-kakak aku kerana sentiasa mengambil berat tentang adiknya yang nakal ini. Hanya emak yang tahu apa yang tersirat dalam hatinya ketika itu. Allah hu alam wal bissawab!

Tetapi saat paling mengembirakan aku ialah ketika tiba musim cendawan busut. Cendawan ini selalunya tubuh di kawasan busut atau bekas busut. Rasanya lebih enak dari daging atau ayam. Ianya selalu tubuh disekitar kawasan rumah kami. Ketika itulah cendawan yang tumbuh dengan banyak mengundang kepakaran untuk mencabutnya. Kalau terlalu kuat, ia akan putus. Jadi cuma dapat kepala dan tak dapat batangnya. Ianya perlu  lembut dan berhati-hati. Selalunya tanda-tanda cendawan busut akan tumbuh apabila kelkatu memasuki rumah pada waktu malam dengan banyak dan menuju ke pelita-pelita atau lampu gasoline yang bercahaya. Secara logiknya, kelkatu tersebut berasal dari dalam busut-busut tersebut. Ianya sejenis sepesis semut serupa anai-anai tetapi bersayap. Apabila keadaan ini berlaku, pada keesokan harinya kami sekeluarga terutama emak akan sibuk mencari cendawan di setiap busut yang berhampiran dengan rumah. Cendawan-cendawan yang dikumpul tersebut akan dibuat sup, dimasak gulai dan dipindang kering. Biasanya cukup untuk stok berminggu-minggu.

Dimana ya hendak cari cendawan itu sekarang. Mungkin ada di pasar tani, tetapi pengalaman untuk mencabutnya tidak dapat dirasakan lagi. Mana ada busut dekat rumah aku di Kota Raya ini. Mana ada kelkatu masuk rumah lagi. Mana ada sawah padi. Mana ada musim menuai. malam mengemping? Menangkap belalang? Mana ada gulai pucuk cemperai, gulai pucuk lapu, gulai cendawan, lawa terung, lawa bacang, rendang pucuk ubi belalang atau belalang goreng. Semakin jauh aku rasakan semua itu dari pengetahuan anak-anak aku, bahkan isteri aku.....Itulah sedikit sebanyak kehidupan aku semasa kecil di BONGEK...suatu ketika dahulu. Dalam senyum aku merasakan banyak kehilangan kehidupan di kampung yang amat mengamit memori.