Mengimbau zaman kanak-kanak aku sebagai anak jati Kampung Bongek, kadangkala aku tersenyum sendiri. Mungkin zaman kanak-kanak aku sama dengan zaman kanak-kanak lain yang berasal dari kampung, tetapi aku berani jamin ianya tidak sama langsung dengan zaman kanak-kanak yang tinggal di bandar. Kehidupan di kampung begitu bebas, sentiasa gembira dan amat menyeronokkan. Walaupun rata-rata kami tidak tahu erti kemewahan, tetapi kami hidup bertunjangkan muafakat dan sentiasa tolong-menolong dan bekerja-sama di antara semua penduduk kampung disamping hormat menghormati. Ketika itu kami tidak kenal komputer, Internet, PSP, Facebook atau apa-apa yang seumpamanya. Kalau adapun radio kecil pakai bateri. Telivisyen...tidak usah mimpi.
Kenapa? Ketika itu mana ada bekalan eletrik. Malam kami hanya diterangi cahaya lampu gasoline dan pelita. Bagi rumah-rumah yang ada lampu gasoline, itu sudah dikira golongan berada. Bagi yang tak mampu, pelita sajalah yang menerangi rumah mereka ketika waktu malam. Aku masih ingat apabila waktu hampir senja, arwah bapa aku atau arwah abang aku akan mula mengisi minyak tanah ke dalam lampu gasoline. Selepas itu, sedikit spirit akan di masuk ke dalam bekas kecil yang terdapat di bahagian dalam balang kaca lampu gasoline tersebut bagi membakar mentol lampu tersebut yang diperbuat dari kain. Sampai ke hari ini aku tidak tahu apa material yang digunakan untuk membuat mentol tersebut. Cuma yang pasti ketika itu, aku sangat suka mengepam lampu gasoline tersebut. Aku boleh merajuk sekiranya arwah bapa atau arwah abang aku tidak membenarkan aku untuk mengepam lampu gasoline tersebut. Apabila lampu gasoline tersebut telah menyala, ianya akan mula-mula di letakkan di ruangan makan. Selepas semua habis makan, lampu tersebut akan dialihkan ke ruangan tamu. Di situ lah kami membaca dan sebagainya sementara menunggu selesai solat isya'.
Selalunya, pukul 9.00 malam sudah terasa begitu sunyi dan secara rutinnya mata kami akan merasa mengantuk. Ini di tambah lagi dengan bunyi cengkerik dan kedinginan malam. Kedinginan malam ketika itu memang betul-betul dingin. Tidak perlu ke Cameron Highland. Selalunya sebelum tidur aku akan merenggek meminta abang-abang atau kakak-kakak aku yang ada di rumah ketika itu untuk menemani aku ke tandas atau lebih tepat lagi jamban. Dahulu tidak ada 'toilet' di dalam rumah seperti sekarang. Jamban akan dibina di luar dan jauh dari kawasan rumah. Maklumlah mana ada sistem penyaliran kumbahan 'Indah Water' seperti sekarang ini.
Satu lubang yang dalam berkeluasan 10 kaki lebar, 10 kaki panjang dan 10 kaki dalam akan digali dan jamban akan diletakkan di tepi lubang tersebut dan lubang itu akan ditutup dengan dahan pokok. Bagi keluarga berada akan diletakkan zink atau papan di atas lubang tersebut. Kemudian akan diletakkan daun-daun pisang dan daun-daun lain dibahagian atas sekali. Jadi semua kumbahan serta air kumbahan akan mengalir masuk kedalam lubang tersebut. Kanak-kanak dilarang sama sekali bermain di belakang jamban tersebut. Kalau terjatuh, mungkin kita dapat mengagak apa akan terjadi..he,he. Mungkin seperigi air yang diperlukan untuk "mensucikan" kanak-kanak yang jatuh tersebut. Maklumlah zaman itu mana ada sabun wangi atau lebih dikenali sebagai sabun "LUX". Yang ada cuma sabun cap kapak yang digunakan untuk membasuh baju dan untuk mandi. Kalau engkau orang tahu apa itu sabun cap kapak...mungkin engkau orang tahu bahawa sabun itu hanya membersihkan kotoran, tetapi tidak berbau wangi. Ia datang dengan sebuku panjang sama ada berwarna hijau keruh atau kuning keruh dan perlu dipotong kecil untuk kegunaan dari masa ke semasa.
Kemudian dinding akan dinaikkan disekeliling jamban tersebut. Kebanyakkan siap dengan atap, tetapi bagi yang tidak beratap, faham-faham sahajalah kalau hari hujan dan perut pula meragam. Jawabnya terpaksalah berpayung. Payung ketika itu diperbuat dari kertas dan selalunya selepas beberapa minggu akan mula berlubang. Ada orang panggil payung Jepun, ada orang panggil payung Cina, entah mana satu betul. Entah-entah payung Siam. Jadi kalau hujan lebat, tak membantu lansung. Aku selalunya lebih suka menggunakan terendak yang di perbuat dari mengkuang. Emak atau arwah nenek aku buat sendiri. kadang-kadang aku guna tudung saji mengkuang saja. Lepas itu, teruk aku kena hamun oleh emak aku yang tercinta.
Air untuk cebok (mencuci atau beristinja')? Mana ada bekalan air paip ketika itu. Sebab itu dalam jamban ada baldi ayan. Kalau tidak pun, bekas tin biskut atau bekas tin minyak tanah yang telah dibuang atasnya untuk menakung air. Di luar rumah selalunya ada tempayan besar untuk menadah air hujan. Jika tiada air hujan, maka terpaksalah mengangkut air dari perigi dan perlu dipastikan tempayan itu sentiasa penuh. Selalunya arwah bapa aku atau abang-abang aku lah kena mengangkut air itu. Habis aku? Eih! Aku bukan kah masih kecil pada masa itu. Jadi manalah kuat untuk buat kerja-kerja orang dewasa..he,he!
Jadi kau orang fahamlah kenapa aku sentiasa minta ditemankan untuk ke jamban pada waktu malam. Gila kau, aku nak pergi seorang! Sudahlah malam, gelap dan ditambah bermacam-macam bunyi. Hendak-hendak ada bunyi burung jempok (burung hantu lah), tak berdiri bulu roma. Dah tu kena bawa pelita pula tu. Kalau di tiup angin dan terpadam...ha, macamana. Lintang pukang lari. Kalau lari terus ke rumah tidak apa juga, tetapi jika belari ke belakang jamban, amacam? Tak seperigi air diperlukan untuk "mensucikan" aku? Cubalah kau orang hidup zaman itu, aku rasa dah tentu engkau orang akan tahan kecing atau berak kalau tidak ada orang hendak temankan engkau orang. Silap-silap terkencing atau terberak masa tidur. He,he...engkau orang rasa aku pernah mengalami terkencing atau terberak ketika tidur tak. "What do you think?"....Engkau orang fikirlah sendiri!
Lagi satu apabila bangun tidur. Hidung mesti berjeragat dan tahi hidung mesti hitam. Hendak tahu kenapa? Sebab asap dari pelita minyak tanah itulah. Asapnya memang berkepul-kepul hitam. Berbau hangit pula tu. Tapi ketika itu, "alah bisa tegal biasa". Kata lainnya, sudah biasa, sudah tidak kisah lagi.
Apa pun, masa makan, kami sekeluarga akan makan bersama. Engkau orang tahu kenapa? Sebab masa itu institusi kekeluargaan sangat utuh. Ini diterapkan oleh arwah bapa. Selepas melalui keperitan dan kegetiran zaman Jepun dan kemudian zaman Bintang Tiga, arwah bapa aku sangat pentingkan keluarganya. Mungkin aku tidak merasa zaman Jepun atau zaman Bintang Tiga itu, tetapi aku masih dapat merasakannya melalui penghayatan sejarah. Engkau orang tahu, arwah bapa aku boleh cakap Jepun dan faham tulisan Jepun. Malahan dia ada meninggalkan beberapa keping duit Jepun (duit cap daun pisang) dan sehingga kini masih dalam simpanan aku.
Selain itu, ketika aku kecil makanan tidak semewah masa kini. Lauk ayam hanya sekali sebulan. Lauk daging hanya akan dinikmati ketika hari raya aidil fitri atau aidil adha, jika ada majlis perkahwinan atau ada orang-orang kampung yang memberi sedekah daging mentah. Kalau masak gulai daging, emak aku akan letak nangka muda banyak-banyak dalam bilangan ratio 70% nangka dan 30% daging. Ketika itu duit memang besar nilainya, tetapi barangan amat berkurangan. Berbanding sekarang, duit amat kecil nilainya, tapi barangan amat banyak di pasaran. Jadi, adalah menjadi rutin harian kita orang pada masa itu akan makan gulai-gulai yang diperbuat dari sayur-sayuran kampung. Gulai nangka, gulai rebung, gulai pucuk lapu, gulai cemperai, gulai cendawan, gulai pucuk paku, rebus bayam, lawa terung, lawa bacang, lawa kuinin dan apa sahaja sayuran kampung yang terdapat di sekeliling rumah sambil berulamkan petai, jering atau kerdas dan sambal tempoyak. Yang pasti, hampir kesemua dimasak lemak cili api dengan santan kelapa yang banyak. Pedas dan berlemak. Sebab itulah kita orang sampai sekarang sudah jadi ketagih dengan masak lemak cili api.
Engkau orang tahu ke lawa terung, lawa bacang atau lawa kuinin itu apa? Ianya sejenis makanan ringkas yang tidak dimasak. Bawang kecil akan ditumbuk bersama udang kering. Kemudian digaul bersama bacang atau kuinin masak yang telah dihiris halus. Dan sekiranya mengunakan terung, terung tersebut dibakar dahulu. Kemudian dimasukkan santan pekat dan di tabur sedikit lada hitam serta garam secukup rasa.
Bab beras pula, ianya datang dari sawah yang diusahakan oleh emak dan arwah bapa. Sekali musim menuai, hasilnya cukup untuk dimakan setahun. Selalunya padi yang telah dituai dan masih bertangkai akan disimpan didalam kepok (setor padi) yang merupakan seperti rumah kecil. Apabila perlu, emak akan mengeluarkan padi tersebut untuk proses meleraikan dari tangkai. Emak akan membentang tikar mengkuang (yang dianyam sendiri oleh emak atau arwah nenek) dan meletakkan padi tersebut di atas tikar. Kemudian emak akan memijak-mijak padi tersebut untuk meleraikannya dari tangkai. Aku amat menyukai proses ini dan sentiasa menawarkan diri untuk melaksanakan tugasan tersebut. Aku seolah-olah menari sambil memijak-mijak padi-padi bertangkai tersebut. Ketika itu aku rasa seolah-olah berada di dalam alam aku sendiri sambil membayangkan aku sebagai burung terbang bebas di angkasa. Pernah tak engkau orang tengok kaum "Red Indian America" melakukan rain dance. Macam itu lah gelagat aku. Nasib baik tidak disertai dengan menghisap paip panjang tu. Syyssss.....hisap rokok pucuk (daun) arwah makcik aku adalah. Kadang siap taruk tembakau lagi. Alah, main-main sajalah. Budak lagi masa itu, manalah kita tahu rokok itu merbahaya!
Selepas padi tersebut dileraikan dari tangkai, emak akan mengumpulkan padi-padi tersebut dan dimasukkan ke dalam bakul mengkuang yang dianyam sendiri oleh emak atau arwah nenek. Kemudian emak atau arwah nenek akan menampi padi-padi tersebut mengunakan nyiru bagi mengasingkan padi yang kosong (sekam) dan padi-padi yang berisi. Nyiru apa? Alah engkau orang ni. Nyiru itu diperbuat dari buluh yang diracik (di larik) nipis dan selebar satu inci setiap bilah yang kemudiannya dianyam sehingga menjadi seperti dulang besar. Selalunya dalam bentuk bulat atau tiga segi. Anyaman itu kemudian akan diikat dengan rotan dalam ukuran diameter satu inci disekeliling nyiru tersebut. Ianya memang kelihatan seperti dulang dan hanya sesuai untuk tujuan menampi sahaja dan bukan untuk mengangkat cawan-cawan atau pinggan-pinggan.
Kemudian padi-padi yang berisi akan di jemur atas tikar mengkuang di halaman rumah. Ini merupakan proses untuk mengeringkan sekam padi dan melonggarkan cengkaman sekam padi ke atas isi padi (beras lah tu). Sekali lagi padi tersebut akan di tampi. Kemudian, seminggu sekali akan datang mesin padi bergerak (milik Koperasi Persatuan Pertanian Kampung Batu, Rembau yang dibiayai Kerajaan) ke kampung kami. Padi-padi orang kampung akan diperoses (pengasingan sekam dan beras) mengunakan mesin padi bergerak tersebut untuk dijadikan beras dengan bayaran yang sangat minimum. Jika tidak silap ketika itu beberapa sen sahaja untuk beberapa kati. Paling banyak aku tengok emak aku bayar dalam 50sen sahaja untuk setengah guni (bekas tepung gandum) beras yang telah diproses. Bagi keperluan segera, selalunya kami akan menumbuk sendiri padi tersebut mengunakkan lesung tangan atau lesung kaki.
Aku amat menanti-nantikan musim menuai. Hendak tahu kenapa? Sebab dapat buat emping beras. Apa? Macamana? Emping beras itu dalam bahasa Inggeris disebut "rice flake". Adik-beradik "corn flake" lah. Selalunya apabila padi telah mula berisi dan menunggu untuk masak sepenuhnya, orang-orang kampung akan menuai sedikit padi muda tersebut. Ini merupakan permulaan pesta menuai untuk orang-orang kampung aku. Padi muda yang dituai akan dileraikan dari tangkai kemudian direndam. Kemudian padi basah tersebut akan di goreng tanpa minyak di dalam kuali panas yang diletakkan bersebelahan dengan lesung kaki. Apabila padi tersebut sudah sedikit meletup menjadi bertih, ia akan dimasukkan dengan segera kedalam lesung untuk di tumbuk. Aku amat menyukai bunyi padi itu meletup menjadi bertih. Macam bunyi mercun pop-pop...tap,tap,tap. Apabila padi goreng tersebut di tumbuk didalam lesung, ianya kemudian akan meleper menjadi emping (flake). Kemudian ianya akan ditampi di dalam nyiru bagi mengasingkan emping dan sekam padi. Hasilnya dapat lah emping padi.
Kenapa aku suka? Sebab, dirumah aku di antara rumah-rumah dikampung Bongek yang ada lesung tumbuk padi mengunakan kaki. Jadi banyak orang kampung akan datang rumah aku untuk mengemping dan selalunya ianya di lakukan pada waktu malam. Jadi rumah aku jadi macam pestalah malam itu dengan kunjungan jiran-jiran untuk mengemping. Aku pula suka menginjak lesung tersebut untuk menumbuk padi dalam proses mengemping tersebut. Berat lesung itu, jangan main-main. Kalau orang perempuan, selalunya dua atau tiga orang yang menginjak lesung tersebut dengan kaki. Kalau orang lelaki, seorang pun boleh, tapi kena gilir-gilir lah. Ketika kecil aku tumpang semangkuk menginjak, tetapi bila telah remaja, selalunya aku seorang sahaja. Mungkin sebab itu, apabila remaja aku berkebolehan bermain bola. Mungkin berkat menginjak padi dan menggunakan lesung tersebut. Betul! Aku dulu memang main bola. Siap mewakili Negeri Sembilan lagi. Tidak percaya? Engkau orang tanya lah kawan-kawan sekolah menengah aku. Malas lah hendak cerita.
Balik cerita emping. Apa dia? Macamana untuk makan emping tersebut? Emping tersebut akan digaul dengan kelapa parut dan dicampur dengan sedikit gula melaka atau gula pasir. Bagi orang-orang tua, mereka akan memasukkan sedikit air panas untuk melembutkan emping tersebut. Malangnya, sampai ke tangan aku, sedikit modifikasi telah aku lakukan. Selepas digaul dengan kelapa parut, aku akan memasukkan sedikit air panas lalu aku letak susu manis dan kadangkala sedikit serbuk milo. Orang-orang tua yang datang mengempingkan di rumah aku akan mentertawakan aku. Kata mereka, "bertuah punya budak. Ada ke makan emping dengan susu dan milo!" Dengan selamba aku menjawab, "Achik oi...ini kan zaman moden. Tak lama lagi orang akan makan emping macam ini lah." Sesungguhnya ketika itu aku tidak tahu apa yang aku katakan, tetapi diimbau kembali, memang budak-budak sekarang makan emping mengunakan susu atau susu berperisa coklat. Malangnya bukan emping beras, sebaliknya emping jagung (corn flake) atau sesuatu yang sewaktu dengannya seperti coco crunch, honey star atau quaker oats. Siap letak strawberi dan anggur lagi. Jadi tidak salah rasanya kata-kata aku kepada makcik-makcik jiran aku dahulu, kan?
Musim selepas menuai lagi menyeronokkan. Ianya semacam pesta di malam hari di seluruh sawah padi di Kampung Bongek dengan seluruh kawasan sawah diterangi pelita dan orang ramai bergerak diseluruh pelusuk kawasan sawah tersebut. Sungguh bising dengan hiruk pikuk dan ketawa orang kampung diwaktu malam selepas waktu maghrib. Buat apa? Hendak tahu kami buat apa? Betul ni? Jeng, jeng, jeng....kami tangkap belalang. Selalunya belalang banyak hinggap di batang padi yang ditinggalkan selepas musim menuai. Hendak tangkap siang tidak boleh sebab belalang itu tangkas melompat sekiranya dihampiri. Jadi waktu terbaik adalah di sebelah malam. Kami akan mengikat botol kosong dipinggang. Batang padi yang dipotong pendek akan dibengkokkan diikat dimuncung botol tersebut bagi mengelakkan belalang yang diisi kedalam botol itu merangkak keluar. Sebelah tangan akan memegang pelita dan sebelah tangan lagi akan menangkap belalang yang melekap di batang padi. Senang sahaja. Badan belalang akan membalikan sinaran cahaya pelita dan apa lagi tangkaplah dan masukkan kedalam botol. Sekitar jam 10 malam selesailah operasi penangkapan tersebut.
Buat apa dengan belalang tersebut? Mula-mula rendam dalam air. Dan cabut kepaknya dan kaki halusnya. Kemudian cuci bersih-bersih, kemudian dimasak rendang bersama dengan pucuk ubi. Jadi ikan bilis dalam pucuk ubi akan diganti dengan belalang. Kadang-kadang gaul dengan kunyit dan garam, kemudian goreng macam goreng ikan bilis. Ratah. Rendang pucuk ubi belalang dimakan dengan nasi panas, memang sedap. Manis belalang, pedas dan lemak rendang memang membangkitkan selera. Lagi ranggup dari ikan bilis. Itulah, engkau orang tidak tahu nikmatnya. Ah...jangan hendak mengada-ada kutuk kita orang, ok!
Sekarang balik balik pasal cerita makan dengan keluarga aku. Aku mempunyai pengalaman manis dan lucu ketika makan bersama keluarga dahulu. Kesempitan hidup, menjadikan emak aku begitu berjaga-jaga dan membahagikan lauk sama rata kepada semua anak-anaknya. Ini berlaku setiap kali kalau emak memasak ayam atau daging. Ianya akan dipotong kecil-kecil dan setiap anak-anaknya akan dibenarkan untuk mengambil sepotong daging sahaja. Tiada siapa dibenarkan mengambil lauk sendiri ke dalam pinggan. Semuanya akan dilakukan oleh emak sendiri secara mutlak. Apabila lauk sudah terhidang dan nasi telah disenduk ke dalam pinggan dan emak masih sibuk di dapur, salah seorang dari kakak atau abang aku dengan pantas akan mengali lubang di tengah-tengah nasi dalam pinggan aku dan memasukkan sepotong daging ke dalam lubang tersebut dan dengan segera menutupnya dengan nasi. Ia seolah-olah macam sepinggan nasi putih, sedangkan telah tersembunyi sepotong daging dibawah nasi tersebut. Jadi apabila emak aku membahagikan lauk kepada semua anak-anaknya, sudah tentu lah aku akan mendapat dua potong daging.
Ketika itu aku beranggapan bahawa emak tidak tahu langsung apa yang berlaku dan ianya mungkin menjadi kenangan lucu bagi aku, abang-abang dan kakak-kakak aku. Apabila telah dewasa aku mula berfikir bahawa, emak aku bukanlah sebodoh itu, sebaliknya beliau berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Bukan lah maksud emak aku yang tercinta untuk mencatu makanan, sebaliknya, kesempitan hidup yang memaksa beliau mengambil tindakan tersebut. Mungkin ketika itu jauh di sudut hatinya, emak menangis kerana tidak dapat memberi kesempurnaan kepada semua anak-anaknya dan mungkin ketika itu emak amat berbangga kepada abang-abang dan kakak-kakak aku kerana sentiasa mengambil berat tentang adiknya yang nakal ini. Hanya emak yang tahu apa yang tersirat dalam hatinya ketika itu. Allah hu alam wal bissawab!
Tetapi saat paling mengembirakan aku ialah ketika tiba musim cendawan busut. Cendawan ini selalunya tubuh di kawasan busut atau bekas busut. Rasanya lebih enak dari daging atau ayam. Ianya selalu tubuh disekitar kawasan rumah kami. Ketika itulah cendawan yang tumbuh dengan banyak mengundang kepakaran untuk mencabutnya. Kalau terlalu kuat, ia akan putus. Jadi cuma dapat kepala dan tak dapat batangnya. Ianya perlu lembut dan berhati-hati. Selalunya tanda-tanda cendawan busut akan tumbuh apabila kelkatu memasuki rumah pada waktu malam dengan banyak dan menuju ke pelita-pelita atau lampu gasoline yang bercahaya. Secara logiknya, kelkatu tersebut berasal dari dalam busut-busut tersebut. Ianya sejenis sepesis semut serupa anai-anai tetapi bersayap. Apabila keadaan ini berlaku, pada keesokan harinya kami sekeluarga terutama emak akan sibuk mencari cendawan di setiap busut yang berhampiran dengan rumah. Cendawan-cendawan yang dikumpul tersebut akan dibuat sup, dimasak gulai dan dipindang kering. Biasanya cukup untuk stok berminggu-minggu.
Dimana ya hendak cari cendawan itu sekarang. Mungkin ada di pasar tani, tetapi pengalaman untuk mencabutnya tidak dapat dirasakan lagi. Mana ada busut dekat rumah aku di Kota Raya ini. Mana ada kelkatu masuk rumah lagi. Mana ada sawah padi. Mana ada musim menuai. malam mengemping? Menangkap belalang? Mana ada gulai pucuk cemperai, gulai pucuk lapu, gulai cendawan, lawa terung, lawa bacang, rendang pucuk ubi belalang atau belalang goreng. Semakin jauh aku rasakan semua itu dari pengetahuan anak-anak aku, bahkan isteri aku.....Itulah sedikit sebanyak kehidupan aku semasa kecil di BONGEK...suatu ketika dahulu. Dalam senyum aku merasakan banyak kehilangan kehidupan di kampung yang amat mengamit memori.