Friday, October 15, 2010

AKU BUDAK BONGEK

Memang betul, aku memang budak Bongek. Kalau tidak percaya, cuba tanya emak aku. Alah, dalam surat beranak memang lah tulis Hospital Seremban, tapi itu dua hari aje. Masuk hari ketiga, emak sudah bawa aku balik ke Bongek.  Siap naik prebet sapu (kereta sewa) lagi. Macamana aku tahu? Ialah, Hospital Seremban tu kan jauh dari stesyen bas. Kalau hendak ambil teksi dari hospital ke stesyen bas, lebih baik ambil teksi dari hospital terus balik ke Bongek. Tapi naik teksi kena tunggu sampai teksi penuh baru jalan. Kalau ikut pengalaman aku tentang sikap arwah bapa aku, dia mesti ambil prebet sapu punya! Sebab dia tidak suka menunggu dan ditunggu. Lagi pun, emak aku kan baru lepas bersalin, sudah tentu arwah bapa aku tak suka isterinya bersama anak yang baru dilahirkan (aku lah tu) kena menunggu. Mungkin tengah panas masa tu, mungkin tengah hujan. Yang itu, aku tidak tahu. Emak aku tidak pernah cerita pula.

Bongek di mana? Bongek itu dalam Daerah Rembau, Negeri Sembilan. Terletak lebih kurang 20 batu (dalam kilometer, kau orang kiralah sendiri) dari bandar Seremban menuju ke selatan kearah Tampin (Melaka), melalui Jalan Seremban-Tampin. Lebih kurang 3.5 batu selepas pekan Rembau, sampai lah ke Kampung Bongek. Ialah, selepas melalui selekoh tajam Kampung Batu dan naik bukit Kampung Sungai Layang. 

Jalan Seremban-Tampin ni memang popular atas tiga sebab. Pertama, merupakan jalan utama (sebelum ada highway) dari Melaka/Johor menuju ke Kuala Lumpur. Keduanya, J.Sham ada masukkan ke dalam lagu dia..."No.66, Jalan Seremban, Tampin, Negeri Sembilan...untuk adik ku yang jauh dimata...". Lagu apa? Lagu 60an lah. Kau orang yang baru-baru hidup ni mana tahu pasal lagu tu...hissssh! Apa? Tahu? Kalau tahu bagus lah. Ingat juga jasa-jasa pengiat seni veteran ni...kan? Ketiganya, banyak orang jual potai, rambutan dan buah-buahan kampung di tepi-tepi jalan, sampai lah ke hari ini. Kalau tak percaya datang lah tengok sendiri. Kalau dari pekan Rembau, di atas bukit Kampung Sungai Layang sebelum sampai ke Kampung Bongek, mesti nampak gerai-gerai jual petai dan buah-buahan kampung kat tepi jalan tu. Kadang-kala bila musim nak raya, dia orang jual daging lembu, lemang dan rendang sekali. Jangan kau orang minta budu atau nasi dagang pula. Ini Negeri Sembilan,...jadi tak adalah budu atau nasi dagang. Apa? Ada? Ini sudah tentu kes orang Kelantan kahwin orang Rembau ni, lepas tu duduk pula di Rembau. Kerja dengan Kerajaan lah tu! Tapi apa ada kisah, kita kan orang Malaysia. Di mana pun serupa. Apa betul ungkapan saya ini?

Kembali kepada cerita berniaga tepi jalan ini. Sebenarnya agak lumayan (ikut standard kampung lah) dia orang tu berniaga kat tepi jalan tu. Boleh lah 'renovate" rumah-rumah dia orang (rumah kampung asal papan sudah ditambah simen), menampung kos kehidupan dan hantar anak-anak bersekolah dan ke universiti. Ialah ada darah minang, dah tentu suka berniaga...betul tak?

Apa kau orang tak percaya? Aku adalah contoh yang paling baik. Emak dan arwah bapa aku, jual durian, jual rambutan, jual jagung rebus, buka kedai runcit dan malam jual teh dan kopi serta   goreng, mee rebus, goreng pisang, goreng keledek dan sebagainya untuk besarkan abang-abang, kakak-kakak dan aku. Hantar kita orang belajar, setakat mana kita orang hendak belajar. Mungkin rezeki aku atau lebih kepada nasib, aku berjaya juga untuk belajar di universiti. Kalau nak ikutkan kewangan, aku rela cari kerja saja masa itu. Tapi kegigihan, kesabaran dan ketekunan emak dan arwah bapa memberikan sokongan moral yang kuat kepada aku untuk menempuh alam pengajian di menara gading. Mujur juga ketika aku di universiti, kakak-kakak dan arwah abang aku sedikit-sebanyak membantu, setakat yang mereka mampulah. Syukur, walau pun mereka juga serba kekurangan ketika itu, tapi tetap menghulurkan bantuan sekiranya aku meminta, tapi tidak selalu lah. Semoga Tuhan membalas jasa mereka. Aku juga bersyukur kepada ALLAH s.w.t. kerana memberikan  aku bakat bermain alat-alat muzik dan menyanyi. Jadi aku ambil kesempatan ini dengan bermain muzik di hujung minggu untuk menampung sedikit-sebanyak perbelanjaan aku di universiti. 

Tapi apa pun, tetap duit hasil jualan durian, rambutan dan buah-buahan kampung lah yang membayar yuran universiti dan perbelanjaan aku di universiti sehingga aku berjaya mendapat Ijazah dalam bidang undang-undang (L.L.B (Hons). Nasib baik emak aku ada tanah pusaka peninggalan datuk dan nenek aku (Adat Perpatih lah katakan) dan arwah ayah, walaupun seorang guru besara (mula bersara pada tahun 1970 dengan pencen tak sampai RM300 sebulan), tetapi punyai minat yang begitu mendalam terhadap bidang pertanian. Sanggup menghadiri kursus demi kursus di Jabatan Pertanian semata-mata untuk menjadi petani dan penternak yang berjaya. Tidak hairan lah keliling rumah emak aku penuh dengan pokok buah-buahan, sawah padi dan beliau ada mengusahakan kolam ikan air tawar di atas tebat (tobek) peninggalan arwah datuk aku.. Aku masih ingat, kami sekeluarga mengali lubang-lubang untuk di tanam pokok rambutan dan pokok buah-buahan lain. Aku juga ingat emak, arwah ayah dan aku (umur 6 tahun) menaiki teksi untuk membeli anak-anak pokok rambutan di Muar, Johor dan itulah pertama kalinya aku menjejakkan kaki di Muar. Aku sangat kagum dengan kilauan air muara sungai Muar ketika melalui jambatan kayu ketika itu. Tapi apa yang aku tidak pernah menduga aku akan mengahwini seorang gadis dari Muar. Benar, isteri aku memang orang Muar. Tiga dari anak aku lahir di Muar, cuma yang bongsu saja lahir di Kuala Lumpur. Itu pun sebab ada masalah semasa isteri aku mengandungkan anak bongsu aku ini. Walau apa pun, Muar tidak sama dengan Bongek. Sangat jauh perbezaannya.

Aku tetap anak Bongek, bangga kerana berasal dari Bongek, hidup dengan kebun buah-buahan, dusun durian, sawah padi, kebun getah dan kolam ikan. Mandi sungai, mandi air perigi, mandi air panas (anak air panas), mandi air terjun, bermain hujan, bermain dalam hutan, makan rendang pucuk ubi, masak lemak pucuk cemperai, gulai pucuk lapu, gulai rebung, rendang belalang, gulai nangka dengan daging pelanduk, gulai burung nukut, gulai landak, gulai telur itik dengan pucuk asam gelugor, gulai daging salai, gulai tempoyak daun, pulut katan, rebus ubi, rebus pisang, ambil kayu api dalam kebun getah, mencari cendawan busut, mencari cendawan kukur, menganyam tikar, membuat atap rumbia, menanam padi, menuai padi, membanting padi, memesin getah, mengutip getah sekerap, mengetah burung, memanah ikan, menungggu durian di dusun siang dan malam, memanjat pokok manggis, memanjat pokok kundang, di sergah langsuir, lihat ular sawa bergaduh, bertembung dengan harimau penunggu, di sergah raja beruk, melihat kelubung melayang dari polok ke pokok, melihat kera berpesta dan tupai menari-nari di atas pokok dan terpalit jebak musang. Ini semua meyakinkan aku bahawa aku memang orang Bongek dan tetap tidak akan aku lupakan sampai akhir hayat ku bahawa kampung aku bernama 'BONGEK'. Memang aku budak Bongek.


1 comment: