"Poi kutip batu tu ah. Kutip yang kocik-kocik yo". Masih tergiang arahan arwah bapa kepada ku. Seperti kanak-kanak yang lain, sentiasa hendak tahu dan aku bertanya kepada arwah bapa, " nak buek apo Pak?". Arwah bapa menjawab, "masukkan dalam pot (tin) susu tu" sambil menunjuk ke arah selonggok pot-pot susu yang telah kosong dan selonggok batu kecil. Aku terus membuat seperti yang di suruh. Banyak juga pot-pot susu yang telah aku isi dengan batu-batu kecil. Kemudian arwah bapa menyuruh aku mengoncang pot susu itu lalu bertanya, "ado bunyi tak". Aku menjawab ringkas, "ado". Lalu ayah mengikat setiap satu pot-pot susu itu kepada tali yang panjang. Aku masih ingat, ketika itu musim padi telah mula mengeluarkan buahnya.
Kemudian arwah bapa mencacakkan buluh-buluh yang telah dipotong dalAm ukuran 8 kaki setiap satu di setiap penjuru petak sawah. Kemudian arwah bapa mengikat tali yang telah dipasang pot-pot berisi batu tersebut dari satu buluh ke satu buluh yang telah dicacakkan. Akhir sekali tali penghujung tali tersebut diikat kepada pundung (pondok) yang didirikan ditepi sawah dibawah pokok buluh. Orang Bongek menyebut pondok sebagai pundung. Tempat lain tidak tahu pula saya. Kemudian arwah ayah menyuruh aku menarik-narik tali yang diikat kepada pundung tersebut. Hasilnya pot-pot berisi batu yang tergantung kepada tali tersebut telah mengeluarkan bunyi di setiap petak sawah tersebut dan aku lihat beberapa ekor burung terbang lari dari dalam padi yang telah berbuah. Rupanya ini adalah salah satu teknik arwah bapa menghalau burung yang datang memakan padi yang ditanam selain dari mendirikan patung orang-orang ditengah-tengah sawah.
Kenangan ketika musim menanam padi sehingga musim menuai sentiasa menebal dalam fikiran ku sehingga ke hari ini. Ketika itu, jika hari cuti sekolah, pagi-pagi lagi aku sudah bangun , tidak sempat mandi atau cuci muka, aku telah berlari ke arah pundung di tepi sawah yang terletak lebih kurang 100 meter ke arah baruh (selatan) rumah aku. Tidak sabar-sabar lagi aku akan menarik tali yang yang bergantungan pot-pot susu berisi batu tadi dan tidak sabar-sabar lagi untuk melihat burung-burung terbang lari ketakutan. Beberapa ketika kemudian aku lihat emak datang membawa bakul yang diisi dengan mangkuk dan pinggan serta termos. Takkan engkau orang tidak tahu apa itu termos! Dalam mangkuk itu sudah tentu ada sarapan pagi. Kadang-kadang kuih jemput cecah kuah masak lemak semalam atau gula, kadang-kadang ubi rebus atau pisang rebus, kadang-kadang nasi lemak atau pulut katan. Apa-apa pun jenis sarapan yang disediakan emak, mesti ada elemen kelapa. Kalau tidak santan kelapa, mesti ada kelapa parut hinggakan sambal tumis pun dimasak dengan santan. Dalam termos mesti ada air teh punya tetapi bukan teh susu lah. Susu ketika itu makanan orang-orang kaya sahaja. Mungkin kakak aku yang duduk Seremban itu mampulah agaknya.
Pulut katan apa? Pulut di atasnya ada kelapa parut kemudian diletak sambal tumis. Kalau hendak pulut katan itu nampak cantik, mula-mula masukkan kelapa parut dalam mangkuk atau cawan. Kemudian diisi pulut sehingga padat. Kemudian keluarkan dan diletak atas daun pisang. Sudah tentu lah ia akan berbentuk bulat mengikut bentuk mangkuk atau cawan tadi. Kemudian letak sambal tumis diatasnya. Kemudian bungkuslah macam bungkus nasi lemak. Sedap memang sedap. Nanti hendak suruh isteri aku buatlah!
Besarapan didalam pundung dipagi yang dingin dengan hembusan sang bayu sambil melihat sawah yang terbentang luas serta melihat kebukit dipenghujng sawah memang amat menyelerakan. Ketika itu aku rasa udara begitu segar, nyaman...ooh alangkah indahnya dunia ketika itu. Aku cukup suka bila dengar buluh itu berbunyi apabila berlaga diantara satu sama lain. Apa pun aku bukan keturunan bulu betong ok! Kadang-kadang ada juga jiran-jiran sawah sebelah datang seperti Teh Ani, Wan Jarah, Cik Isam, Uwan Busu, arwah makcik aku (Ayek) untuk bersarapan bersama dengan kami. Mereka-mereka ini walaupun telah tua, tetapi tetap gigih mengerjakan sawah. Begitu harmoni rasanya hidup di Kampung Bongek ketika itu. Memang aku dibesarkan disekeliling banyak kawan -kawan emak atau lebih tepat jiran-jiran kami yang sebaya dengan emak dan tidak hairanlah sehingga sekarang hati aku amat mudah tersentuh apabila melihat orang-orang tua, tidak kiralah bangsa apa pun. Bak kata perpatah tidak ada yang tua masakan ada yang muda, betul tak?
Kemudian seperti biasa setelah sarapan perut akan mula meragam. Apa lagi, aku pun duduk mencangkung di atas batang kayu yang diletakkan menyeberang sungai kecil yang terdapat diantara pundung dan petak sawah. Sungai ini kecil dan cetek airnya separas betis sahaja tetapi airnya sangat jernih dan arusnya sederhana. Tidak payahlah aku gambarkan bagaimana aku menunaikan hajat dan kemana buangan itu jatuh kan? Yang pasti ikan-ikan didalam sungai itu akan berebut-rebut lah. Eih..aku kan masih kecil lagi masa itu, mana tahu erti malu. Alah, sekarang pun yang engkau orang duduk tepi kolam renang dengan "swimming trunk" dan "swimming suit" tidak malu pula? Sekurang-kurangnya... aku masih pakai baju, cuma yang sebelah bawah sahaja yang terbukak...he,he!
Setelah selesai menunaikan hajat, aku pun terus masuk ke dalam sungai tersebut untuk "mensucikan" diri. Airnya begitu sejuk tetapi terasa sangat nyaman. Apa? Alah, buangan itu sudah dihanyutkan air lah. Air itu kan mengalir. Kemudian aku mula mengejar ikan-ikan kecil di sekeliling kaki aku. Kemudian ibu akan menjerit,"baik-baik wok! Jangan sontuh bonto tu. Kang kok tak suman dek gata." Bonto itu adalah sejenis rumput yang tumbuh ditepi-tepi sungai yang bersawah. Daunnya kalau tersetuh akan menyebabkan kegatalan kepada kulit, tetapi tidak lah terlalu bahaya. Selalunya kalau terkena gatal-gatal akibat tersentuh bonto, emak akan segera melumurkan lumpur sawah ditempat yang gatal tersebut. Hairan tetapi amat berkesan sekali.
Kemudian aku akan berlari diatas permatang untuk mendapatkan arwah ayah yang berada di tengah sawah kononnya untuk membantu membuang rumput-rumput yang tumbuh bersekali dengan padi. Adakalanya aku tercabut dengan padi-padi sekali dan adakalanya aku akan mengakibatkan permatang yang baru dibuat oleh arwah bapa runtuh. Adakalnya kerana berlari terlalu laju, aku akan terjatuh tersembam kedalam sawah. Engkau orang percaya ke aku terjatuh. Sudah agak dah! Memang aku sengaja "terjatuh" ke dalam sawah itu. Kalau sudah jatuh, apa lagi, main lumpurlah. Cuma kesian arwah bapa kena betulkan permatang dan mencucuk semula padi yang aku cabut atau tercabut semasa aku jatuh. Apa pula nakal! Aku kan masih kecil semasa itu. Mana faham keadaan atau kesan yang telah aku lakukan. Bak kata emak aku,"tak paham bahaso botul budak seko ni'...he,he.
Kalau engkau orang hendak tahu, di Kampung Bongek ada sungai air panas. Anak air yang panas mengelegak keluar dari bumi dan membentuk kolam air panas bersebelahan sungai. Airnya berbau seperti belerang, tetapi kata orang kampung baik untuk mereka yang menghidapi penyakit kulit. Kadang-kadang kita orang bawa telur, letak dalam jaring dan dan rendam dalam kolam air panas tersebut. Sudah masak, kita orang makan lah. Apa? Sedap tak? Rasa telurlah, cuma ada bau belerang sedikit. Kadang-kadang kita kepung ikan dan halau masuk dalam kolam air panas itu. Apa lagi "mengelintin" lah ikan-ikan tersebut untuk masuk semula ke dalam sungai biasa. Kalau tak, jadi arwah lah ikan-ikan itu. Kalau sudah jadi arwah, ikan-ikan tersebut tidak pula boleh di makan sebab badan ikan itu sudah berbau belerang. Kecuali engkau suka makan ikan berbau belerang!
Aku akui kawan-kawan aku lebih berani dari aku. Aku pula sememangnya jenis yang agak berhati-hati...penakutlah tu!. Binatang-binatang seperti katak, ular kecil dan burung sentiasa berdoa agar tidak bertembung dengan mereka-mereka ini. Kalau jumpa, habis mereka kerjakan, jadi "allayarham" lah binatang-binatang itu! Bab-bab ini aku penakut sedikit. Boleh meremang bulu roma, kegelian. Pasal itu aku sentiasa kena buli. Dia orang letak katak dalam baju akulah, dalam seluarlah. Kadang-kadang dia orang lempar bangkai ular kepada aku. Apa lagi, "berketuntang" lah aku menepis. Berketuntang? Maksudnya kelam kabut dalam keadaan panik. Tetapi aku tahu mereka hanya bergurau. Itulah, siapa suruh jadi penakut!
Aku akui kawan-kawan aku lebih berani dari aku. Aku pula sememangnya jenis yang agak berhati-hati...penakutlah tu!. Binatang-binatang seperti katak, ular kecil dan burung sentiasa berdoa agar tidak bertembung dengan mereka-mereka ini. Kalau jumpa, habis mereka kerjakan, jadi "allayarham" lah binatang-binatang itu! Bab-bab ini aku penakut sedikit. Boleh meremang bulu roma, kegelian. Pasal itu aku sentiasa kena buli. Dia orang letak katak dalam baju akulah, dalam seluarlah. Kadang-kadang dia orang lempar bangkai ular kepada aku. Apa lagi, "berketuntang" lah aku menepis. Berketuntang? Maksudnya kelam kabut dalam keadaan panik. Tetapi aku tahu mereka hanya bergurau. Itulah, siapa suruh jadi penakut!
Apabila aku dewasa, tiba-tiba sawah-sawah di kampung aku tidak dikerjakan lagi dan mula terbiar. Kata orang kampung, sejak kerajaan membuat empangan air di sungai besar (sekarang sudah kecil) yang mengalir ditengah-tengah sawah-sawah kami, air berada di paras rendah dan tidak lagi masuk kedalam petak-petak sawah. Mungkin ada benarnya, tetapi bagi aku pula, generasi yang mengerjakan sawah sudah terlalu tua dan tidak sekuat dahulu. Anak-anak pula telah mula gigih dalam pelajaran atau mula meninggalkan kampung untuk bekerja dibandar. Jadi sawah telah menjadi sesuatu "heritage" dan bukan lagi cara hidup. Tiada siapa lagi ingin ke sawah. Kini kalau engkau orang lalu di kampung Bongek, selain dari kebun rambutan emak aku dan kolam ikan tinggal didepan Masjid Bongek itu, mana ada sawah lagi. Semuanya telah ditanam pokok kelapa sawit yang dipajakkan kepada FELCRA. Bagaimanapun setelah empat puluh tahun, rumpun buluh dimana arwah bapa mendirikan pundung masih lagi disana dan kadang-kadang aku selalu pergi ke sana seorang diri untuk mengimbau kenangan indah kehidupan kanak-kanak aku di kampung bertuah ini....KAMPUNG BONGEK!
Bayangan sawah yang tinggal hanya cuma dalam ingatan aku sahaja. Dimana batang kayu tempat aku mencangkung itu ya?
Maso darjah 5 dulu, dokek2 time nak perikso penilaian, den pulak sibok menolong org halau burung kek sawah.Maso tu, kek pulau sebang, dopan sawmill.Omak den bukan maen marah laei. Tapi bila baca tulisan U, semuanya macam baru semalam je berlalu.
ReplyDelete